KUANTAN: Syarikat pembekal kren keselamatan, Toptek Engineering Services Sdn. Bhd. (TTES) menyambut baik kursus dilaksanakan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP) di bawah Kementerian Sumber Manusia.
Pengerusi Eksekutif TTES, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, pihaknya berterima kasih kepada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dan JKKP kerana meneruskan program berhubung kait keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
“Saya difahamkan, kursus ditawarkan adalah percuma yang mana pihak JKKP akan menawarkan khidmat dan nasihat pakar secara percuma kepada pekerja terlibat.
“TTES berpandangan, kursus sebegini cukup baik dalam memberikan pengetahuan dan maklumat kepada setiap pekerja berhubung isu-isu keselamatan dan juga kesihatan pekerjaan.
“Sebagai menyambut baik program itu, TTES akan menghantar semua 40 pekerja kita menyertai kursus tersebut secara berperingkat,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, dasar berhubung aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan perlu diketahui bukan sahaja dalam kalangan majikan malah semua pekerja di tempat kerja.
“Dengan adanya kursus ini, kadar peningkatan kemalangan dapat dikurangkan dan diatasi di tempat kerja sekali gus, dapat mengurangkan kematian di tempat kerja,” katanya.
Menurutnya, TTES berharap semua majikan mengambil peluang menghantar pekerja masing-masing menyertai kursus keselamatan dan kesihatan pekerjaan dilaksanakan JKKP.
“Kemalangan industri merupakan perkara yang kerap kali berlaku. Ia membabitkan pelbagai faktor terutama keselamatan dan kesihatan.
“Jadi, latihan keselamatan dan kesihatan pekerjaan penting bagi meningkatkan budaya kerja selamat di tempat kerja dan meningkatkan kesedaran pekerja itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata, daripada sudut bantuan info dan khidmat nasihat, kakitangan JKKP terutama di Putrajaya begitu faham tentang tatacara kerja serta mengurangkan birokrasi tetapi tidak melanggar prosedur kerja ditetapkan.
“Tahniah kepada Kementerian Sumber Manusia, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Azman Mohd. Yusoff dan JKKP atas pelaksanaan program tersebut,” katanya. – UTUSAN