Segerakan baik pulih Jambatan Gantung Sultan Ismail - Utusan Malaysia

Segerakan baik pulih Jambatan Gantung Sultan Ismail

KAMARUDIN Md. Nor (dua dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian Matta Fair Kelantan 2025 di Tunjong, Kota Bharu, Kelantan hari ini. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mahu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menyegerakan kelulusan peruntukan kepada Jabatan Warisan Negara untuk kerja-kerja baik pulih Jambatan Gantung Sultan Ismail di Kuala Nal, Kuala Krai di sini yang sudah uzur.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, kelulusan bagi membolehkan kerja baik pulih dapat dilaksanakan pada tahun ini juga.

Menurutnya, sebelum ini beliau sudah dimaklumkan ada sejumlah peruntukan telah disediakan bagi tujuan tersebut tetapi tidak diteruskan.

“Hal ini kerana Motac tidak mendapat gambaran sebenar mengenainya termasuk betapa serius kerosakan yang dialami. Kini Jabatan Warisan Negara memohon satu jumlah mencukupi untuk tujuan berkenaan dan saya tidak mahu buat sebarang anggaran kerana risau ia akan bercanggah dengan jumlah sebenar peruntukan yang dimohon atau diperlukan.

“Jadi lebih baik kita serahkan sepenuhnya kepada pihak jabatan berkenaan untuk menguruskan perkara ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta Fair) Kelantan 2025 di Tunjong, di sini hari ini.

Pada Mac tahun lalu, media melaporkan Jabatan Warisan Negara mendapati struktur Jambatan Gantung Sultan Ismail yang berusia lebih 100 tahun telah condong dan boleh roboh jika tidak dibaik pulih dengan segera.

Pengarah Jabatan Warisan Negara Zon Timur, Mohd. Shukri Mohd. Isa berkata, pihaknya bersama beberapa agensi pelaksana seperti Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang mengenal pasti punca bagi mengatasi masalah yang dihadapi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN