JOHOR BAHRU: Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa boleh diserang ‘sakit jantung’ sekiranya berjaya menewaskan Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR, Sabtu ini.
Menteri Ekonomi itu berkata, ini kerana beliau tahu adalah mustahil untuk mempertahankan jawatan itu yang turut ditandingi anak Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini kerana, dakwanya, semua sudah ‘diatur’ bagi pemilihan jawatan tersebut pada kali ini, sama seperti yang terjadi pada pemilihan Ketua Cabang PKR di beberapa lokasi.
“Saya boleh jamin, walaupun kempen berjalan baik, sambutan bagus, kalau saya menang, saya boleh kena sakit jantung. Sebab saya tahu yang saya tak akan menang. Saya bukan bodoh, bukan budak baru belajar, saya dah bertanding sejak 1999, sudah banyak pemilihan parti yang dilalui.
“Sebab kalau saya tahu begini caranya sudah disusun dan sebagainya, isyaratnya jelas saya akan kalah, saya tidak ada masalah,” katanya pada Jelajah Hiruk di New York Hotel, di sini malam tadi.
Rafizi berkata, kekalahan yang akan dialami itu bukan kerana beliau tidak mendapat sokongan parti sebaliknya disebabkan ‘sistem’ yang bermasalah.
Katanya, berdasarkan culaan sokongan yang diperoleh di cabang-cabang dan di kawasan Jelajah Hiruk dilakukan, angka menunjukkan bahawa dirinya tak berdepan masalah untuk menang.
Namun, ‘sistem’ yang bermasalah itu akan merosakkan peluangnya untuk mempertahankan jawatan tersebut.
“Perkara ini sudah dijelaskan YB Akmal (Nasrullah Nasir) sebentar tadi, di mana sokongan akar umbi ada hingga memenangkan ahli jawatankuasanya, namun kepalanya dipancung (ketua bahagian).
“Jadi, saya tak hairan jika itu akan berlaku pada pemilihan nanti. Saya sudah menjangkakan akan tewas. Jadi, bila saya kalah, apa guna lagi pegang jawatan menteri,” katanya.
Rafizi sebelum ini menyatakan kesediaannya untuk melepaskan jawatan dalam Kabinet sekiranya gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti yang dijadual berlangsung pada 24 Mei ini. – UTUSAN