Sarawak dakwa Petronas beroperasi secara haram

Sarawak dakwa Petronas beroperasi secara haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan nege­ri Sarawak menghantar surat tun­tutan kepada anak syarikat Petronas, Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) atas dakwaan me­lakukan pelanggaran atau ke­tidakpa­tuhan terhadap Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016.

Pelanggaran itu membabitkan operasi sebuah loji milik PCSB di Miri Crude Oil Terminal (MCOT) di Lot 915-916, Lorong 1A-1A, Desa Senadin, 98100 Mi­ri, Sarawak.

Kerajaan negeri melalui Kementerian Utili­ti dan Telekomunikasi Sarawak mendakwa, loji berkenaan beroperasi seca­ra haram atau tanpa permit di bawah Seksyen 7(e) DGO 2016.

Menurut surat dari kementerian itu yang dilihat Utusan Malaysia, Seksyen 7(e) merujuk kepada aktiviti mem­bina, mengurus atau menyelenggara saluran paip gas atau peralatan, kelengkapan atau mekanisme lain bagi tujuan pengagihan gas.

Dalam kes ini, gas dimaksudkan adalah gas asli (NG).

“Sehubungan dengan perkara di atas, syarikat anda adalah dengan itu telah melanggar Seksyen 7(e) di bawah Ordinan tersebut,” kata surat berkenaan.

Perkembangan itu­ me­­nambah lagi ‘kekusutan’ antara Sarawak dengan Petronas selepas kerajaan negeri semakin agresif menggerakkan usa­­ha untuk menjadi agregator gas tunggal di negeri berkenaan.

Kerajaan negeri juga membe­ri tempoh selama 21 hari dari ta­rikh surat berkenaan, berta­rikh 30 April 2025, untuk Petronas Carigali mendapatkan lesen atau berdepan penalti kewa­ngan.

“Sila ambil perhatian sekiranya anda meneruskan akti­viti yang dinyatakan di atas di loji tersebut tanpa memperoleh lesen yang dikehendaki di bawah Seksyen 7(e) dalam tempoh 21 hari dari tarikh surat ini, penalti kewangan akan dikenakan ke atas anda di bawah Seksyen 21A Ordinan Pengagihan Gas 2016,” tulis surat itu.

Menurut surat itu lagi, Petronas Carigali boleh berhubung dengan pegawai dinyatakan sekiranya terdapat pertanyaan berhubung perkara berkenaan.

Selaras dengan hasrat untuk mengukuhkan kawalan terhadap sumbernya, Sarawak me­nubuhkan syarikat minyaknya, Petros pada 2017.

Petronas pula ditubuhkan Ke­rajaan Pusat di bawah Akta kemajuan Petroleum (PDA) sebagai sebahagian daripada usaha Malaysia mengukuhkan kawalan ter­hadap sumber minyak dan gas negara.

Bagaimanapun, dalam tempoh setahun lalu, Sarawak mendesak supaya Petronas me­meterai perjanjian yang akan menjadikan Petros agregator gas tunggal di negeri berkenaan.

Pertikaian berlarutan apabila Petros memfailkan saman berhubung tuntutan bayaran bekalan gas asli dan Petronas gagal dalam cubaan untuk menghentikan perbicaraan saman itu.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak terus berusaha supaya satu persefahaman dicapai tetapi sehingga kini masih belum ada perkembangan yang positif.

Pada 18 April lalu seorang bekas pengurus Petronas didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan cuba mendedahkan dokumen sulit berkaitan operasi dan kewa­ngan Petronas kepada Petros pada Jun tahun lalu.

Sementara itu usaha Utusan Malaysia mendapatkan penjelasan daripada Petronas gagal kerana panggilan tidak dijawab ekoran cuti umum semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN