KUANTAN: Cadangan pembangunan projek solar di Felda Bukit Goh di sini antara usaha penyelesaian dalam memastikan 235 peneroka terjejas akibat perlombongan bauksit mampu menjana pendapatan.
Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM), Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, difahamkan terdapat lebih 100 kawah atau lubang besar kesan perlombongan bahan mineral itu sedalam antara satu hingga enam meter.
“Sudah tentu projek solar ini akan menutup lubang atau kawah besar yang sejak sekian lama terbiar dan dibimbangi boleh mendatangkan bahaya khususnya kepada penduduk setempat.
“Selain tiada lagi kawah besar terbiar, projek solar ini tentunya lebih terkawal supaya tiada lagi episod disaluti debu merah di sepanjang lokasi aktiviti perlombongan, jalan raya dan pengangkutan membawa bauksit,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan kira-kira 235 orang peneroka terlibat perlombongan bauksit di Felda Bukit Goh di sini hanya ‘bahagia’ sementara iaitu kira-kira setahun bermula pertengahan 2014 apabila masing-masing menerima ‘durian runtuh’ yang mana jumlah mencecah ehingga mencecah RM1 juta.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, melalui pelaksanaan projek solar itu, ia boleh diintegrasikan dengan pertanian seperti penanaman sayur dan penternakan ayam menggunakan teknologi moden.
“Tanah yang sekian lama terbiar di Felda Bukit Goh dapat dimanfaatkan dan menjana pendapatan peneroka,” katanya.
Beliau namun berkata, sebagai sebuah negara yang berpengalaman dalam aktiviti perlombongan seperti bijh timah bertaraf dunia sepatutnya sudah bersedia dengan isu alam sekitar dan kesan ke atas kawasan bekas lombong bauksit.
“Sepatutnya aktiviti melombong bauksit lebih bersedia dengan isu alam sekitar dan kesihatan serta kesan serta tindakan ke atas kawasan bekas lombong.
“Sembilan tahun berlalu, bekas lombong bauksit ini sepatutnya sudah ada tindakan yang boleh menguntungkan penduduk dan alam sekitar yang melibatkan orang awam dan hidupan lain.
“Semasa aktiviti melombong banyak perbincangan, protes dan kawalan keselamatan dilakukan. Sejauh mana pemantau isu diteruskan terutama berkaitan kualiti air, udara dan pemulihan yang sudah berlaku,” katanya lagi.-UTUSAN.