KANGAR: Projek mercu tanda nama bandar oleh Majlis Perbandaran Kangar (MPK) tersergam indah yang menjadi mercu tanda baharu di negeri ini, sekali gus menceriakan kawasan berkenaan.
Mercu tanda itu masing-masing terletak di Bulatan Padang Besar; Dataran Lok 9, Kuala Perlis; Persimpangan Jalan Panglima-Persiaran Jubli Emas dan di hadapan medan Arau Jaya.
Malah, pada 24 April lalu, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menyempurnakan perasmian salah satu mercu tanda berkenaan di Bulatan Padang Besar.
Mercu tanda baharu itu bukan sekadar pembinaan struktur fizikal semata-mata namun merupakan simbol keutuhan, kesepaduan dan cinta rakyat terhadap negeri.
Mercu Tanda Jubli Perak di Padang Besar itu adalah berkonsepkan ‘Taman Syurga’ melambangkan keindahan dan ketenangan dengan meletakkan Tengkolok Putra Julang Darjat pada bahagian puncaknya.
Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth berkata, komponen projek berkenaan membabitkan nama bandar dengan penggunaan huruf Jawi dan rumi.
Katanya, ia selaras dengan saranan dan polisi yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.
Selain itu, katanya, ia juga melibatkan sistem pencahayaan dengan penggunaan teknologi terkini 3D lighting iaitu yang pertama di Perlis.
“Projek ini juga sebagai tanda kasih sayang MPK dan rakyat kepada Raja Perlis bersempena sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin dan Ulang Tahun Keputeraan Ke-82 baginda,” katanya.
Katanya, projek berkenaan sudah siap sepenuhnya dan tiga daripadanya dibuka sempena ulang tahun keputeraan baginda.-UTUSAN