Polis Pekan tumpas komplot samun di Chini - Utusan Malaysia

Polis Pekan tumpas komplot samun di Chini

MOHD. ZAIDI MAT ZIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Taktik licik seorang wanita berpura-pura menjadi mangsa samun akhirnya terbongkar apabila polis berjaya menumpaskan sindiket samun yang didalangi oleh wanita terbabit bersama rakannya dalam kejadian di Felda Chini Timur 1 di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, hasil risikan dan tindakan pantas pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan berjaya menahan lima lelaki dan seorang wanita Melayu disyaki terlibat kejadian tersebut.

Menurutnya, kejadian berlaku pada 20 Mac lalu kira-kira pukul 11.45 malam di sebuah rumah di Felda Chini Timur 1, melibatkan kerugian dianggarkan RM12,000.

“Siasatan awal mendapati wanita berusia 27 tahun yang sebelum ini membuat laporan polis mendakwa dirinya disamun oleh empat lelaki bertopeng menggunakan senjata tajam, rupa-rupanya berpakat dengan salah seorang suspek lelaki untuk menyamun barangan kemas milik ibu mertuanya sendiri.

“Mereka merancang kejadian itu dan selepas menyamun, hasil jualan barang kemas tersebut digunakan untuk membayar suspek dan melunaskan hutang Ahlong,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Zaidi berkata, keenam-enam suspek yang berusia antara 27 hingga 36 tahun ditahan dalam beberapa serbuan berasingan pada 15 Mei lalu.

“Ujian saringan air kencing mendapati empat suspek positif dadah jenis Methamphetamine. Mereka mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kesalahan samun, dadah dan pecah rumah. Salah seorang daripada suspek memiliki 12 rekod jenayah lampau termasuk mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dua lagi suspek, wanita yang berpura-pura menjadi mangsa dan seorang lelaki didapati negatif dadah serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Pihak polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai berkait dengan kejadian samun tersebut hasil maklumat daripada suspek yang ditahan.

Antara barangan dirampas, tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama, seutas rantai leher dan gelang tangan, beberapa helai pakaian, sebilah pisau berhulu kayu, kad bank serta dokumen pajak gadai.

Menurut Mohd Zaidi, semua suspek kini direman sehingga 23 Mei ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

“Dua suspek utama iaitu wanita berkenaan dan rakannya akan dituduh di Mahkamah Seksyen Kuantan pada 23 Mei ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN