Petronas ada hak beroperasi di Sarawak

Petronas ada hak beroperasi di Sarawak

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas mempunyai hak dan kuasa secara statutori untuk menjalankan sebarang aktiviti atau operasi berkaitan petroleum di Sarawak.

Menurut Petronas, hak dan kuasa itu termaktub di bawah Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 yang membolehkan anak syarikatnya, Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) mengawal selia semua aktiviti berkaitan petroleum di Malaysia, terma­suk di Sarawak.

“Kami menghormati aspirasi Kerajaan Negeri Sarawak, namun Petronas juga mempunyai tanggungjawab untuk menegak­kan PDA 1974 dan menjaga ke­pentingan negara.

“Petronas akan terus menja­linkan kerjasama secara membi­na serta bekerja rapat dengan Kerajaan Persekutuan, Keraja­an Negeri Sarawak dan Petros dalam meneroka penyusunan masa depan.

“Ia penting bagi memastikan kejelasan dari segi peraturan dan kesinambungan operasi demi manfaat industri, negeri dan negara secara keseluruhannya,” kata Petronas dalam kenya­taan semalam.

Kenyataan itu dikeluarkan Petronas bagi menjawab notis yang diterimanya daripada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak pada 30 April lalu, berkenaan pemprosesan dan pengagihan gas.

Utusan Malaysia semalam me­laporkan Kerajaan Nege­ri Sarawak menghantar surat tun­­tutan kepada anak syarikat Pet­ronas, PCSB atas dakwaan me­lakukan pelanggaran atau ke­tidakpa­tuhan terhadap Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016.

Pelanggaran itu membabitkan operasi sebuah loji milik PCSB di Miri Crude Oil Terminal (MCOT) di Lot 915-916, Lorong 1A-1A, Desa Senadin, 98100 Mi­ri, Sarawak.

Kerajaan negeri melalui Kementerian Utili­ti dan Telekomunikasi Sarawak mendakwa, loji berkenaan beroperasi seca­ra haram atau tanpa permit di bawah Seksyen 7(e) DGO 2016.

Petronas memberitahu pihaknya komited untuk memastikan hak dan kepentingan semua pihak, termasuk pengguna dan pelabur, diberi perhatian sewajarnya.

Sementara itu, Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menolak dakwaan Kerajaan Negeri Sarawak kononnya PCSB beroperasi secara haram di Miri Crude Oil Terminal.

Pengarah Jabatan Komunikasi dan Media Baharu Armada, Naim Brundage berkata, dakwaan tersebut adalah tidak berasas dan bercanggah undang-undang sedia ada.

Katanya, Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) dengan jelas telah memberikan hak eksklusif kepada Petronas untuk mengawal selia semua aktiviti berkaitan petroleum di Malaysia, termasuk di Sarawak.

“Berdasarkan fakta ini, Petronas tidak sepatutnya memerlukan sebarang lesen atau permit daripada Kerajaan Negeri Sarawak untuk menjalankan sebarang operasi yang membabitkan petroleum di negeri tersebut.

“Selain itu, kami ingin mengingatkan semua pihak pada 1976, Kerajaan Negeri telah menandatangani perjanjian rasmi dengan Kerajaan Persekutuan yang memindahkan hak milik dan kawalan terhadap sumber petroleum negeri itu kepada Petronas.

“Maka sebarang tuduhan Petronas telah beroperasi secara haram di Sarawak adalah jelas tidak berasas dan bercanggah dengan fakta perundangan,” katanya.

Menurut Naim lagi, pihaknya berasa kesal yang mendalam terhadap kelemahan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu di antara Petronas dan Kerajaan Negeri Sarawak ini.

“Kegagalan untuk mempertahankan kedudukan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang sedia ada dipercayai akan menyebabkan kerugian yang besar kepada negara dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

“Kami menyeru semua pihak untuk menghormati semangat Persekutuan yang menjadi asas kepada pembentukan negara demi kepentingan bersama seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Provost Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai pula berkata, tindakan kerajaan Sarawak menghantar surat tuntutan kepada Petronas dibimbangi akan mencetuskan pertelingkahan dan menjejaskan kepentingan negara.

Katanya, tindakan kerajaan Sarawak terhadap anak syarikat Petronas, Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) adalah tidak wajar

Kata beliau, proses perundingan yang sudah terencat antara kerajaan negeri itu dengan Petronas menyebabkan pemain-pemain industri memilih untuk meninggalkan negara oleh kerana kemelut yang semakin meruncing.

“Kerajaan Sarawak seolah-olah tidak melihat perspektif yang lebih mendalam dalam tuntutan mereka, sekiranya pemain antarabangsa keluar satu persatu maknanya negeri itu pun tidak mengendalikan gas.

“Mereka juga belum mempunyai pengalaman agregator gas, jadi perlu ambil masa untuk menyesuaikan diri sebagai. Seharusnya kerajaan Sarawak lebih bertolak ansur,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Barjoyai, rundingan antara Petronas dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sudah terlalu berasaskan emosi semata-mata.

“Tiada aspek tolak ansur dalam rundingan itu hingga menyebabkan ketegangan, apabila ketegangan antara dua pihak itu wujud maka inilah yang akan terjadi. Sepatutnya duduk berbincang memandangkan Sarawak tetap sebahagian daripada Malaysia.

“Sarawak bukan nak keluar daripada Malaysia jadi mengapa perlu menyebabkan proses rundingan ini menjadi tegang atau berpatah arang, berkerat rotan?” soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×