Pertemuan Anwar-Putin teroka kerjasama baharu

Pertemuan Anwar-Putin teroka kerjasama baharu

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Russia, Vladimir Putin sempena lawatannya ke negara itu hari ini yang bertujuan menilai kemajuan hubungan dua hala dan meneroka kerjasama baharu dalam pelbagai bidang.

Perdana Menteri akan berada di negara itu empat hari bagi menghadiri Forum Ekonomi Antarabangsa XVI Russia-Islamic World: KazanForum dan juga akan berjumpa Perdana Menteri, Mikhail Mishustin di Moscow.

Menurut Wisma Putra, pertemuan Anwar dengan ketua negara itu juga melibatkan kerjasama bidang pertanian dan agrikomoditi, pendidikan, aeroangkasa dan tenaga.

“Kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia turut akan mengemukakan cadangan memperkukuh kerjasama melalui kerangka Hubungan Dialog ASEAN-Rusia,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Selain pertemuan peringkat tinggi, Anwar dijadual menghadiri sesi meja bulat bersama tokoh industri, menyampaikan syarahan umum di Moscow State Institute of International Relations (MGIMO) serta bertemu diaspora Malaysia.

Di Kazan, Anwar akan mengadakan pertemuan dengan Rais Tatarstan, Rustam Minnikhanov dan menyampaikan ucaptama khas pada Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Russia-Islamic World.

Kemuncak lawatan ialah penyertaannya dalam KazanForum, di mana beliau dijemput menyampaikan ucaptama dalam sesi pleno forum tersebut.

“KazanForum merupakan platform utama dalam mengukuhkan jaringan ekonomi dan perdagangan antara Rusia dan negara-negara Islam, sejajar dengan komitmen Malaysia memperluas peranan dalam kerjasama pelbagai hala seperti ASEAN dan BRICS,” katanya.

Pada tahun 2024, Rusia merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Eropah, dengan jumlah dagangan mencecah RM11.46 bilion (AS$2.48 bilion).

Eksport utama Malaysia merangkumi produk elektrik dan elektronik, jentera, alat ganti dan makanan diproses, manakala import dari Rusia terdiri daripada produk petroleum, mineral dan produk berasaskan kimia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN