KANGAR: Terminal Pengangkutan Awam Perlis atau Perlis Sentral di Seriab yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan canggih bakal memberikan keselesaan dan kepuasan kepada pengguna sekali gus memberikan imej baharu buat negeri ini.
Terminal baharu tersebut menggantikan terminal bas Bukit Lagi di sini yang beroperasi sejak lebih 20 tahun lalu.
Ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti kaunter tiket yang beroperasi secara dalam talian dengan kemudahan seperti pembayaran tanpa tunai atau cashless di samping enam platform masing-masing membabitkan pelepasan serta ketibaan.
Selain itu, terdapat juga enam parkir sementara bas, 25 parkir teksi dan kereta sewa, tempat letak kereta awam, surau, tandas awam, lot-lot perniagaan dan pelbagai lagi kemudahan lain.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth berkata, Perlis Sentral yang dibina dengan kos RM20 juta menerusi peruntukan yang Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) telah beroperasi sepenuhnya pada 24 Mac lalu.
Katanya, MPK telah dipertanggungjawabkan sebagaimana keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri sebelum ini yang telah bersetuju memutuskan bahawa pengurusan dan pengoperasian Perlis Sentral diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan tersebut.
“Menerusi penyerahan tersebut, MPK diberi kuasa untuk menyelia dan mengutip berkenaan bayaran yang berkaitan bagi mendapatkan hasil dan menampung kos pengurusan bangunan,” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pengurusan Perlis Sentral antara MPK dan Perlis Sentral Sdn. Bhd di Bahang Bay Hotel, Teluk Bahang, Pulau Pinang semalam.
Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Affendi Rajini bersama Pengarah Eksekutif Perak Transit Berhad, Datuk Cheong Peak Sooi yang disaksikan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli dan Pengerusi Jawatankusa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd. Jalil.
Tambah Affendi, termeterainya kerjasama dengan pihak Perlis Sentral Sdn. Bhd itu merupakan satu lagi kejayaan diraih sepanjang setahun tempoh menerajui MPK.
Katanya, pemilihan Perlis Sentral Sdn. Bhd menguruskan terminal itu selepas mengambil kira pengalaman luas yang dimiliki syarikat tersebut di dalam sektor pengangkutan di negara ini.
“Pada 31 Julai 2024, pihak MPK telah mengeluarkan iklan bagi Request for Proposal (RFP) untuk terminal ini beroperasi. Menerusi iklan tersebut, kita telah menerima sebanyak tujuh permohonan daripada pelbagai pihak dengan pelbagai cadangan dan tawaran untuk menguruskan Perlis Sentral itu.
“Setelah meneliti setiap RFP yang diterima, kita akhirnya membuat keputusan melantik Perlis Sentral Sdn. Bhd bagi
mengoperasikan sepenuhnya Perlis Sentral dengan mengambil kira pengalaman luas yang dimiliki oleh pihak syarikat di dalam sektor pengangkutan di negara ini.
“Adalah diharapkan dengan termerainya kerjasama ini, ianya dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak khususnya di dalam memastikan kecekapan operasi sistem pengangkutan di Perlis yang seterusnya dapat memberikan keselesaan dan kepuasan kepada pengguna serta memberikan imej baharu negeri ini kepada pelancong yang
secara tidak langsung membantu menjayakan kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Affendi memberitahu, MPK akan melaksanakan hari bertemu pelanggan pada hari Jumaat minggu kedua dan keempat bermula bulan ini selama tiga jam dari 8.45 sehingga 11.45 pagi bagi memberi ruang kepada rakyat membangkitkan sebarang permasalahan atau isu berbangkit.-UTUSAN