ARAU: Perlis merekodkan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah RM6.3 bilion pada tahun 2023 berbanding RM6.2 bilion pada tahun sebelumnya dengan peningkatan sebanyak 2.1 peratus.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, pada masa sama, sektor pertanian negeri ini juga telah mencatatkan nilai tambah berjumlah RM1.10 bilion berbanding RM1.06 bilion pada tahun sebelumnya.
Katanya, sektor ini juga merupakan penyumbang kedua tertinggi kepada KDNK negeri dengan sumbangan sebanyak 17.4 peratus.
“Secara keseluruhan, sektor ini terus kukuh dengan pertumbuhan 4.1 peratus menerusi sumbangan dalam ketiga-tiga subsektor pertanian iaitu tanaman, perikanan dan ternakan.
“Sektor perlombongan dan pengkuarian turut meningkat sebanyak 5.2 peratus yang mana sebahagian besar disumbangkan oleh aktiviti pengkuarian batu kapur dan granit,” katanya berucap sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-82 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Istana Arau, di sini, hari ini.
Mohd. Shukri berkata, pekembangan dalam sektor pelancongan juga telah memberi impak sangat besar kepada subsektor lain di negeri ini antaranya seperti penginapan, makanan dan minuman yang telah membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat.
“Sektor penginapan di Perlis merekodkan pertumbuhan 22.8 peratus pada tahun 2023 manakala subsektor makanan dan minuman turut mencatatkan peningkatan sebanyak 1.8 peratus. Kedua-dua subsektor ini menyumbang sebanyak 5.4 peratus kepada sektor perkhidmatan di negeri ini,” katanya.
Di samping itu, Mohd. Shukri berkata, negeri ini juga bakal menyaksikan satu lagi projek berimpak tinggi apabila Perlis Inland Port (PIP) akan mula beroperasi pada tahun ini.
Beliau berkata, selain itu, sebuah institusi pendidikan, UniKL-ASTI juga akan memasuki fasa pembinaan tahun ini.
“Perlis juga kini terlibat secara langsung dalam sektor perkilangan semi-konduktor yang pastinya akan membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda selain berpotensi menjadi destinasi pelaburan global dalam masa terdekat.
“Kerajaan negeri akan terus menggiatkan lagi langkah-langkah yang perlu untuk memastikan ekosistem yang kondusif dengan menarik lebih ramai lagi syarikat bertaraf multinasional sebagaimana pembukaan kilang Jabil Sdn. Bhd. pada April lalu,” katanya.-UTUSAN