Penternak rugi, 70 ekor lembu dibaham harimau

Penternak rugi, 70 ekor lembu dibaham harimau

ROSLI Shafii menunjukkan bangkai lembu miliknya yang mati dipercayai dibaham harimau belang dalam ladang kelapa sawit di Kampung Meranto, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Dua penternak lembu di Kampung Meranto di sini, mendakwa kerugian hampir RM300,000 apabila lebih 70 ekor lembu dibaham harimau belang sejak dua tahun lalu.

Kejadian terbaharu berlaku pada malam Sabtu lalu yang menyebabkan seekor lagi lembu milik Rosli Shafii, 48, mati dipercayai dibaham haiwan berkenaan.

Katanya, dia percaya lembu betina itu mati dibaham harimau selepas menjumpai kesan tapak kaki haiwan berkenaan di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran jalan utama masuk ke penempatan Orang Asli Pos Pasik.

Katanya, sebelum ini, sebanyak 30 ekor lembu miliknya mati akibat dibaham harimau belang.

“Saya yakin haiwan ini masih berada di kawasan ladang ini kerana bangkai lembu beralih tempat dan banyak kesan tapak kaki harimau bersaiz melebihi dua tapak tangan manusia dewasa dijumpai.

“Kejadian lembu dibaham harimau kawasan ladang sawit ini semakin kerap berlaku hingga ramai penternak lain rugi ratusan ribu ringgit,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Rosli yang menjadi penternak lembu sejak 19 tahun lalu berkata, dia sudah menanggung kerugian lebih RM100,000 dan bimbang sekiranya 50 ekor lagi lembu miliknya terus menjadi mangsa harimau belang berkenaan.

Katanya, aduan telah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan perangkap dipasang di kawasan ladang, namun haiwan liar itu masih gagal ditangkap.

Seorang lagi penternak, Azlan Azib, 36, berkata, dia menanggung kerugian lebih RM200,000 apabila sebanyak 40 ekor lembu miliknya menjadi ‘korban’ harimau belang sejak hampir dua tahun lalu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN