Peneroka Felda diingat lunas cukai tanah - Utusan Malaysia

Peneroka Felda diingat lunas cukai tanah

PENEROKA Felda membayar cukai tanah sempena program Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Jerantut Turun Padang di Felda Jengka 24 hari ini. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Peneroka Felda di Wilayah Jengka di sini diingatkan tidak mengabaikan tanggungjawab mereka membayar cukai tanah selewat-lewatnya 31 Mei ini.

Pengerusi Biro Sosial dan Komuniti Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, ia sebagai bukti kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas nikmat tanah yang dinikmati sejak puluhan tahun lalu.

“Permintaan ini mengambil kira komitmen kerajaan negeri yang meletakkan sasaran kutipan hasil melebihi RM1 bilion tahun ini, ia memerlukan kerjasama seluruh rakyat termasuk peneroka tanah rancangan Felda.

“Kita sentiasa mengingatkan komuniti peneroka supaya menjadi pembayar cukai tanah yang berdisiplin, seiring peranan sebagai warga Felda yang bertanggungjawab.

“Di Felda Wilayah Jengka sahaja terdapat 37 rancangan yang terletak dalam daerah Jerantut, Temerloh dan Maran. Alhamdulillah, kebanyakan mereka adalah pembayar yang setia dan prihatin dengan keperluan ini,” katanya ketika ditemui di Felda Jengka 24 di sini hari ini.

Razak yang juga Ketua Peneroka Felda Jengka 24 berkata, kehadiran skuad khas Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut serta Maran ke setiap rancangan Felda memudahkan urusan kutipan hasil tanpa perlu peneroka berulang-alik ke pejabat kerajaan.

“Ramai dalam kalangan peneroka kini sudah warga emas, ada yang bertongkat, uzur, malah tidak berdaya memandu jauh. Maka, apabila pegawai kerajaan turun ke kawasan, ia sangat membantu dan menggembirakan mereka,” katanya.

Menurut beliau, kutipan hasil tanah di Felda Jengka 24 sahaja mencecah kira-kira RM75,000 tahun ini, hasil bayaran cukai oleh kira-kira 250 peneroka membabitkan ladang dan tapak kediaman masing-masing.

“Bayaran cukai hasil tanah ladang dan rumah biasanya antara RM250 hingga RM300 bergantung keluasan dimiliki peneroka. Jumlah ini berpatutan jika dibandingkan nikmat tanah yang kita warisi sejak penubuhan Felda,” katanya.

Beliau turut menganggap inisiatif turun padang oleh pegawai Pejabat Daerah dan Tanah sebagai pendekatan yang adil dan memberi situasi menang-menang antara kerajaan dan rakyat.

“Peneroka dapat menjalankan tanggungjawab dengan mudah, manakala kerajaan dapat mengutip hasil secara efisien bagi tujuan pembangunan negeri. Inilah bukti konsep rahmah dalam pentadbiran yang harus disokong,” ujarnya. –   UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN