Pendekatan visual terbukti bantu kanak-kanak autisme berkomunikasi dengan lebih berkesan - Utusan Malaysia

Pendekatan visual terbukti bantu kanak-kanak autisme berkomunikasi dengan lebih berkesan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Petaling Jaya – Melengkapkan kajian PhD bagaimana pendekatan visual boleh membantu kanak-kanak autisme berkomunikasi dengan lebih berkesan, pensyarah di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM, Dr. Muhamad Hafiz Hassan yakin sudah sampai masanya anak-anak istimewa di luar sana menunjukkan potensi sebenar.

Jelasnya minat yang mendalam terhadap kajian autisme yang bermula sejak pengajian Sarjana membuatkan beliau memilih bidang yang sama untuk kajian di peringkat PhD sekali gus membuktikan bahawa pendekatan visual boleh membantu kanak-kanak autisme berkomunikasi dengan lebih berkesan.

‘Kajian pada peringkat PhD, saya membawa bidang kajian ke arah berbeza tetapi masih dalam konteks autisme, dengan memberi tumpuan kepada kaedah visual-spatial yang boleh membantu meningkatkan keupayaan pertuturan kanak-kanak autisme. Mereka mempunyai kebolehan visual yang luar biasa, tetapi menghadapi cabaran dalam komunikasi,”katanya.

Sementara itu melalui usahanya itu, turut membuahkan hasil apabila Dr. Hafiz berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam tempoh yang ditetapkan (Graduate on Time) serta menerima Anugerah Penyelidikan Cemerlang (APC) daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM).

“Walaupun kajian PhD saya adalah penyelidikan baharu dan bukan sambungan dari kajian Master, pengalaman bekerja dengan komuniti autisme semasa Sarjana memberi saya pemahaman asas yang kukuh tentang keperluan khas mereka. Ini membantu saya merancang kajian PhD dengan lebih fokus dan mendalam,” jelasnya.

Menghasilkan banyak penerbitan di pelbagai platform, tambahnya ketika ini juga beliau turut dilantik sebagai pakar rujuk oleh pelbagai pihak, termasuk Bahagian Perkhidmatan dan Pembangunan OKU UiTM, Malaysia High Functioning Autism Association (MAHFAA), dan Panel Pembangunan Silibus Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Perjalanan akademik saya dari peringkat Sarjana hingga PhD telah memberi saya perspektif yang luas dalam bidang autisme. Sepanjang hampir tujuh tahun mendalami bidang ini melalui projek berbeza, saya telah menjalankan program bersama komuniti autisme dan membangunkan pelbagai pendekatan untuk mereka. Pengalaman ini sangat bermakna dan membuka mata saya tentang keperluan sebenar masyarakat.

“Kita perlu memahami bahawa kanak-kanak istimewa ini melihat dan berfikir tentang dunia dengan cara yang berbeza. Dengan pendekatan yang tepat, mereka boleh berkembang dan berkomunikasi dengan lebih baik,” jelasnya.

Menekankan bahawa pembangunan kajian dalam membantu golongan autisme tidak seharusnya tertumpu kepada kajian klinikal sahaja Dr. Hafiz juga berharap agar kajian beliau dapat membuka mata masyarakat tentang potensi tersembunyi kanak-kanak autisme.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN