BACHOK: Pemilik spa dan salun kecantikan yang para selepas disimbah cecair yang dipercayai asid di Beris Kubur Besar di sini kelmarin sudah sedarkan diri selepas menjalani pembedahan selama enam jam di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian petang semalam.
Suami mangsa, Muhammad Syahrul Ikhwan Seri Buana, 33, berkata, pihak HPUSM memaklumkan bahawa isterinya Nor Faziera Muda, 27, sudah sedar ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan kira-kira pukul 4 petang semalam.
Menurutnya, keadaan isterinya kini semakin stabil sebelum dipindahkan ke wad Unit Rawatan Kebakaran HPUSM hari ini apabila tidak lagi perlu menggunakan alat bantuan pernafasan.
“Saya belum berjumpa dengan isteri sejak semalam. Saya akan melawatnya petang ini. Ibu bapa dan adik beradik isteri dari Terengganu datang dan bermalam di sini selepas mengetahui kejadian menimpa Nor Faziera,” katanya ketika ditemui pemberita di Beris Kubur Besar di sini hari ini.
Muhammad Syahrul Ikhwan memberitahu, dia dan keluarga meminta orang ramai turut mendoakan isterinya cepat sembuh.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Spa Kelantan (Puspal), Rosnani Seman, 52, berkata, dia menerima panggilan daripada Nor Faziera dengan percakapan yang agak cemas yang memaklumkan bahawa dia disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali.
“Saya terus bergegas ke Klinik Kesihatan Beris Kubur Besar di sini. Saya sempat melihat Nor Faziera mengalami kecederaan pada lengan kanan dan belakang badan.
“Saya sedih apabila Nor Faziera merintih dan mengadu sakit seperti terbakar pada bahagian belakang badannya. Nor Faziera merupakan wanita yang baik dan tiada musuh dalam perniagaannya,” katanya.-UTUSAN