Pemburu maut terkena tembakan senapang patah buatan sendiri - Utusan Malaysia

Pemburu maut terkena tembakan senapang patah buatan sendiri

YAHAYA OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Aktiviti memburu sekumpulan lelaki di kawasan hutan Tebu Hitam, Rompin, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas terkena tembakan senapang patah buatan sendiri yang meletup secara tiba-tiba.

Mangsa, seorang lelaki Melayu berusia 62 tahun disahkan meninggal dunia selepas terkena tembakan pada bahagian sisi dada sebelah kanan dalam kejadian pada 4 April lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, laporan polis tentang kejadian itu dibuat oleh seorang lelaki berusia 54 tahun yang juga salah seorang daripada rakan mangsa.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa bersama enam rakannya keluar memburu sebelum senapang patah buatan sendiri dibawa mangsa meletup lalu terkena jari kelingking tangan kanannya, sebelum serpihan tembakan tersebut menembusi bahagian sisi dada kanan.

“Bedah siasat yang dijalankan di HTAA (Hospital Tengku Ampuan Afzan) hari ini mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan tembakan pada dada,” katanya kepada pemberita di sini.

Tambah Yahaya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun siasatan lanjut membawa kepada penahanan enam individu terdiri daripada lima lelaki Melayu berusia  35 hingga 67 tahun dan seorang lelaki Orang Asli berusia 46 tahun.

Katanya, kesemua mereka ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pemburuan haram.

“Dalam operasi tersebut, polis turut merampas lima laras senapang patah buatan sendiri, satu laras senapang patah jenis Benelli Armi-Urbino dan 25 butir peluru penabur untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN