Pembantu kedai didakwa beri rasuah RM1,500 kepada anggota polis - Utusan Malaysia

Pembantu kedai didakwa beri rasuah RM1,500 kepada anggota polis

TERTUDUH (tengah) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi rasuah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan di Kuantan, Pahang. - FOTO/MUHAMMAD NAIM HELMI HAFIDZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang pembantu kedai pendingin hawa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM1,500 kepada seorang anggota polis, tahun lalu.

Tertuduh, Hiew Che Yong, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.

Mengikut pertuduhan, Che Yong didakwa secara rasuah memberikan wang tunai RM1,500 kepada seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Suapan tersebut didakwa diberikan sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadap dua individu yang ketika itu berada dalam tahanan polis berhubung siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh pada 6 Mei tahun lalu kira-kira pukul. 3.10 petang di hadapan Lokap Berpusat Indera Mahkota, di sini.

Tertuduh dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694], dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ezuain Farhana Ahmad mencadangkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguambela, Muhamad Saifudin Ab. Rahman merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai pembantu kedai pendingin hawa dengan pendapatan bulanan RM1,435 dan menanggung seorang isteri, dua anak serta ibu yang uzur.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bercagar serta syarat tambahan yang dikemukakan pendakwaan. Mahkamah menetapkan 26 Jun depan sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes. –  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN