KUANTAN: Seorang pekerja kedai makan maut selepas motosikal ditungganginya merempuh bahagian belakang motosikal rakannya sebelum melanggar besi penghadang jalan di Jalan Kuantan–Pekan berhampiran Kampung Semangat di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa, Shahroszaimi Ramli, 19, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal mangsa dipercayai memotong sebelah kiri lalu merempuh motosikal rakannya daripada arah belakang sebelum hilang kawalan dan melanggar penghadang jalan.
Katanya, ketika kejadian, motosikal rakan mangsa yang juga seorang pekerja kedai makan, sedang bergerak lurus di lorong kiri dari arah Pekan menuju ke Kuantan.
“Keadaan jalan ketika kejadian adalah lurus, berturap baik dan kering dengan pencahayaan malam diterangi lampu jalan, manakala cuaca dilaporkan baik,” katanya.
Menurut Wan Mohd. Zahari, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN