PDX2025 pameran, persidangan digital terbesar Pulau Pinang

PDX2025 pameran, persidangan digital terbesar Pulau Pinang

LUKAS Tan (tengah) bersama tetamu jemputan ketika PDX2025 di Pusat Konvensyen, Butterworth Arena, Pulau Pinang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Pameran dan Persidangan Pendigitalan Pulau Pinang 2025 (PDX2025) yang berakhir kelmarin mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya menarik kehadiran lebih 600 peserta tidak termasuk pempamer.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif OPERiON, Lu­kas Tan berkata, jumlah penyertaan yang tinggi itu membolehkan PDX2025 dianggap sebagai pameran dan persidangan digital terbesar di Pulau Pinang setakat ini.

“Sasaran awal kami pada mu­la­nya ialah untuk menarik sehingga 500 penyertaan sahaja me­mandang­kan ia pertama kali di­adakan.

“Bagaimanapun, penyertaan meningkat melebihi sasaran awal dan ini sesuatu yang sangat mengujakan kami,” katanya yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur program.

Majlis pelancaran PDX2025 disempurnakan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow melalui satu rakaman video yang disiarkan di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth Arena di sini, kelmarin.

Kon Yeow dalam ucapannya menyambut baik penganjuran PDX2025 yang disifatkannya banyak membantu proses transformasi digital untuk PKS khususnya di Pulau Pinang.

“Saya juga percaya PDX2025 boleh menjadi platform penting untuk mendekatkan para usahawan kepada pakar industri, penyelesaian praktikal serta rangkaian sokongan yang diperlukan untuk terus maju,” katanya.

Antara pempamer di PDX2025 termasuk OPERiON, Digital Pe­nang, Telekom Malaysia (TM), Taxman, EasyStore, Awantec, Techman, Sales Hero, Aenon Solutions dan HRFlex.

Selain pameran, sesi seminar turut diadakan bagi membincangkan secara lebih mendalam topik-topik yang dihadapi oleh peniaga ketika ini termasuk berkaitan e-invois, geran serta insentif perniagaan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Turut terlibat dalam penganjuran itu ialah 11 rakan komuniti iaitu PUMM Penang, E3 Hubs, SME Association Seberang Perai, Persatuan Usahawan Cina Pulau Pinang, SAMENTA, Lions Club of Bagan, MIFA, JCI Bayan, Persatuan Kebangsaan Usahawan Wanita Malaysia, PWCC dan Entreprenuer Growth Hub.

Lukas percaya bahawa proses digitalisasi bukan hanya alat untuk menguasai teknologi, tetapi juga boleh menjadi satu budaya.

“Ia (proses digitalisasi) ialah tentang bagaimana kita menguruskan perniagaan kita, melayani pelanggan serta bersedia untuk masa depan,” katanya.

Tambah beliau, OPERiON akan giat mempromosikan kursus e-invois bagi membantu PKS dalam transformasi digital selain mengalu-alukan lebih banyak sokongan daripada para peniaga dan pihak kerajaan untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Mereka yang berminat untuk bekerjasama boleh menghubungi talian +60 11-26726587 untuk perbincangan lanjut,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×