Padang Stadium Darul Makmur diiktiraf FIFA sebagai padang rumput asli pertama di Asia - Utusan Malaysia

Padang Stadium Darul Makmur diiktiraf FIFA sebagai padang rumput asli pertama di Asia

FADZLI Mohamad Kamal (duduk, tengah) melihat rumput padang Stadium Darul Makmur di Kuantan, Pahang yang mendapat pengiktirafan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebagai padang rumput asli pertama di Asia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Padang Stadium Darul Makmur (SDM) di sini diiktiraf Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebagai padang rumput asli pertama di Asia.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, padang rumput jenis Bermuda itu yang pertama seumpamanya di negara ini.

“Sukacitanya, saya ingin memaklumkan padang Stadium Darul Makmur kini diiktiraf padang rumput asli pertama di Malaysia, yang memperoleh pensijilan FIFA melalui Program Kualiti FIFA Permukaan Padang Semulajadi.

“Saya juga mendapat maklumat bahawa ia merupakan pertama di luar Jepun maknanya pertama di Asia, sebab itulah dalam tempoh masa menaik taraf padang ini, tiga kali pihak dari Jepun datang dan memantau kerja menaik taraf rumput dan padang.

“Pengiktitafan FIFA ini menunjukkan bahawa padang ini dibina dengan spesifikasi dan kualiti yang betul oleh Syarikat RS Greenmaster (M) Sdn. Bhd. iaitu kontraktor yang dipertanggungjawabkan untuk menaiktaraf padang ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Pensijilan Program Kualiti FIFA Permukaan Padang Semula jadi Stadium Darul Makmur di sini.

Kerja-kerja menaik taraf Padang Stadium Darul Makmur yang bermula pada September tahun lalu melibatkan peruntukan RM1.6 juta, dengan RM1.1 juta disumbangkan oleh kerajaan. Pahang dan RM500,000 oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Fadzli berkata, padang Stadium Darul Makmur juga berjaya menerima penarafan cemerlang melalui tiga komponen utama penilaian penuh oleh pihak konsultan yang dilantik oleh FIFA.

“Melalui penilaian yang dibuat oleh Mr. Anthony Apparailly dan Mr. Gary Chatfield, padang Stadium Darul Makmur telah berjaya mendapat penarafan excellent dengan markah 93 peratus.

“Antara komponen utama penilaian penuh ini adalah, pertama, Ujian Iklim iaitu pengujian terhadap suhu persekitaran, kelembapan persekitaran, kelajuan angin dan suhu tanah; kedua, Ujian Prestasi Sukan iaitu mengenal pasti keadaan padang dari segi lantunan bola menegak, penyerapan hentakan bagi pergerakan bola, penyerapan tenaga menegak, pengembalian tenaga, rintangan putaran dan keseragaman.

“Ketiga, Ujian Agronomik, iaitu mengukur kekerasan permukaan, tahap pemadatan, kadar infiltrasi air, indeks keseragaman dan kepadatan tumbuhan, ketinggian potongan rumput, kedalaman akar, ketebalan timbunan rumput mati, warna rumput, liputan rumput di seluruh kawasan, kandungan rumpai, serangga perosak, penyakit, kandungan lembapan tanah, ujian pH, dan analisis kesihatan tanah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN