KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan 115 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja sebagai buruh binaan menerusi Op Kutip di sini semalam.
Kesemua PATI berusia antara 18 hingga 55 tahun di tahan di tapak pembinaan di Loji Rawatan Air (LRA) Chicha.
Pengarahnya Mohamed Yusoff Khan Mohd. Hassan berkata, kesemua PATI itu ditahan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Daripada jumlah itu 114 PATI itu adalah warganegara Bangladesh dan seorang dari India.
“Kesemua PATI itu telah dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohamed Yusoff Khan memberitahu, JIM Kelantan meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat sebarang aktiviti PATI dan warga asing yang menyalahi undang-undang.
Katanya, mana-mana individu atau pihak yang mendalangi, memudah cara dan bersubahat dalam melindungi PATI akan berdepan tindakan tegas tanpa sebarang kompromi.-UTUSAN