KUANTAN: Tindakan licik pemilik kilang mencampurkan kayu getah yang belum dikenakan cukai dengan kayu hutan bagi mengaburi mata pihak berkuasa gagal menerusi penahanan 45 individu dalam serbuan dilakukan bersempena Operasi Bersepadu Khazanah (Op Sawmill) Bil. 3/2025 serentak di tiga negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan, baru-baru ini.
Operasi pada 20 Mei lalu itu turut menyaksikan rampasan pelbagai jenis kayu hutan serta peralatan bernilai lebih RM30.8 juta dengan RM11,313,329 adalah hasil khazanah berupa 47,709 batang kayu hutan pelbagai jenis dan saiz.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, antara rampasan lain ialah jentera berat bernilai RM4.34 juta dan alat pemotong serta pemprosesan kayu bernilai RM15.17 juta.
Tambahnya, serbuan terbabit melibatkan 14 kilang di tiga negeri berkenaan dengan tujuh di Pahang manakala masing-masing empat di Kelantan dan Terengganu.
Menurutnya, mereka yang ditahan adalah hasil pemeriksaan terhadap 323 individu yang mana daripada 45 ditahan, 18 adalah rakyat tempatan, enam warga Myanmar, tujuh warga Bangladesh, 12 warga Indonesia serta masing-masing seorang warga Nepal dan India.
“Kesemuanya masih dalam siasatan tetapi daripada 45 tangkapan itu, 18 telah pun kita bebas dengan jamin, sementara 27 lagi masih kita reman. Status barang kes pula masih dalam siasatan pihak Jabatan Perhutanan
“Yang kita masih reman ini, mereka adalah warga asing. Yang warganegara kita, kita dah bebaskan dengan jamin,” katanya dalam sidang akhbar di Kem Bukit Galing di sini hari ini.
Azmi juga berkata, kesemua tangkapan dan rampasan itu kini dalam siasatan pihak Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.
Tambahnya, antara kesalahan yang disiasat melibatkan pelbagai undang-undang termasuk Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan tinggal tanpa dokumen sah; menggaji pendatang tanpa izin; menjalankan operasi tanpa lesen sah di bawah Akta Perhutanan dan Enakmen Industri Berasaskan Kayu; kegagalan mematuhi standard penginapan pekerja (Akta 446) serta memiliki daun ketum, dadah dan senjata berbahaya.
Beliau berkata, operasi itu diketuai oleh Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Aman bersama Briged Tenggara PGA dengan kerjasama tujuh agensi, Jabatan Perhutanan, Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kementerian Kesihatan membabitkan seramai 295 pegawai dan anggota.
“Pendekatan pelbagai agensi ini membolehkan tindakan yang lebih menyeluruh dan berkesan diambil terhadap pihak yang melanggar peraturan,” ujarnya.
Sehingga 20 Mei lalu, sebanyak 32 serbuan dilaksanakan dalam tiga siri Op Sawmill sejak Januari dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM97.3 juta dan melibatkan 98 tangkapan. – UTUSAN