Menaiki ATV di sawah terbiar jadi tarikan Kg. Semerbok

Menaiki ATV di sawah terbiar jadi tarikan Kg. Semerbok

KAMALAMEEROODIN Yahya (kanan) dan Mohamad Hafizhan menunjukkan kemudahan ATV yang boleh dicuba oleh pengunjung di Kampung Semerbok, Rembau. – UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Kawasan tanah sawah yang terbiar sekian lama di Kampung Semerbok di sini kini telah diusahakan dengan pelbagai jenis tanaman lain seperti kelapa, limau dan buah naga.

Malahan bagi meningkatkan sosioekonomi penduduk, turut dijalankan aktiviti sewaan all-terrain vehicle (ATV).

Pengurus Projek ATV Ride, Mohammad Hafizhan Hamzah, 34, berkata, projek berkenaan adalah di bawah Program Sejahtera Komuniti Madani (Sejati Madani) bagi mengupayakan komuniti melalui aktiviti pe­ningkatan sosioekonomi.

Menurutnya, pihaknya memilih untuk menyediakan kemudahan tujuh buah ATV untuk digunakan pengunjung selain turut dipinjamkan ke kampung-kampung berdekatan.

“Projek ini baharu dijalankan iaitu hampir enam bulan. Kami berharap orang ramai dapat berkunjung ke kampung ini untuk mencuba sendiri kemudahan ATV ini secara santai di kawasan sawah terbiar,” katanya ketika ditemui.

Mohammad Hafizhan berkata, bagi pengunjung yang mahukan pengalaman lebih mencabar, mereka boleh memilih menunggang ATV di laluan kebun kelapa sawit dan durian.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Semerbok, Kamalameeroodin Yahya, ber­kata, sebelum tahun 1970-an, tanaman padi merupakan pendapatan utama penduduk serta diusahakan dengan giat.

Bagaimanapun, kawasan tanah sawah padi semakin berkurang kerana tiada lagi yang berminat untuk mengusahakannya terutama dalam kalangan generasi muda selain masalah pengairan.

“Pada tahun 2006, ada pihak yang cuba mengusahakan kembali namun tidak lama kemudian usaha tersebut terhenti kerana masalah banjir. Kini dari­pada terbiar, tanah sawah padi itu diusahakan pula dengan tanaman lain seperti kelapa, limau dan buah naga selain digunakan untuk aktiviti ATV,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN