PETALING JAYA: Walaupun mempunyai 16 juta tan nadir bumi jenis ion adsorption clay (IAC) rendah radioaktif yang boleh menjadi sumber ekonomi baharu bernilai RM800 bilion, Malaysia tiada teknologi untuk memproses unsur nadir bumi (REE) itu.
Ketiadaan teknologi yang dikatakan eksklusif milik China, Jepun dan Amerika Syarikat (AS) itu menjadi cabaran utama negara untuk membina kilang teknologi pembuatan supermagnet, bateri dan lain-lain, sekali gus menyukarkan penjanaan pendapatan ratusan bilion ringgit itu.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Syed Fuad Saiyid Hashim berkata, keadaan itu menyebabkan Malaysia masih belum berupaya mengeluarkan produk berasaskan unsur bumi buat masa ini.
Menurutnya, terdapat dua perkara asas yang perlu dikenal pasti sebelum Malaysia boleh memiliki industri hiliran daripada nadir buminya sendiri.
Pertama, katanya, Malaysia perlu memastikan kemampanan sumber untuk kelangsungan kilang-kilang tanpa perlu bergantung kepada bekalan REE negara asing yang kini rata-rata sudah menghalang pengeskportannya.
Katanya, kemampanan sumber perlu mencukupi untuk membina kilang pembuatan produk berasaskan nadir bumi kerana jika ia tidak ‘economical’, sudah pasti tiada pengusaha yang mahu melabur dalam sektor tersebut.
“Keduanya, kita tiada masalah dalam teknologi perlombongan Oksida Nadir Bumi (REO) kerana mempunyai kepakaran tempatan namun proses berikutnya iaitu teknologi pengasingan REE.
“Teknologi itu agak terhad kepada negara-negara tertentu seperti China, bahkan Jepun dan AS sendiri memilikinya. Itulah kekangan paling besar bagi Malaysia untuk mempunyai kilang pembuatan produk berasaskan nadir bumi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas laporan muka depan akhbar ini bahawa negara mampu menjana pendapatan RM800 bilion jika nadir bumi jenis ion adsorption clay (IAC) rendah radioaktif sebanyak 16 juta tan yang terbiar di lima negeri dibangunkan.
Syed Fuad berkata, teknologi pengasingan unsur nadir bumi masih ‘eksklusif’ kepada negara-negara tertentu dan ia tidak dikongsikan setakat ini.
“Itu masalah utama dalam industri ini, teknologi pengasingan REE masih bersifat rahsia, jadi ia tidak berkembang ke negara lain dan ini ada kaitannya dengan isu geopolitik dunia,” katanya.
Beliau yang juga pengkaji eksplorasi perlombongan REE menggunakan kaedah larut resap insitu (ISL) juga berpendapat bahawa, jumlah IAC sebanyak 16 juta tan itu sememangnya cukup untuk pembinaan kilang pembuatan produk berasaskan nadir bumi.
Bagaimanapun, katanya, pembinaan kilang pembuatan produk berasaskan nadir bumi itu perlu dilakukan secara strategik bagi mengelakkan proses pengeluaran produk itu terganggu akibat kekurangan bekalan.
“Jumlah sebanyak 16 juta tan itu banyak dan berbaloi untuk membina kilang, cumanya perlu diingat, Malaysia bukanlah sebuah negara yang besar, kita tidak mampu jika setiap negeri mahu memiliki kilangnya sendiri.
“Kerana setiap kilang memerlukan bekalan yang mampan untuk meneruskan kesinambungannya jadi perlu perancangan strategik oleh kerajaan untuk menerokai potensi mineral di negara,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, industri nadir bumi negara berpotensi besar untuk menarik pelaburan asing secara langsung (FDI) berikutan permintaan global yang semakin meningkat terhadap sumber mineral tersebut terutamanya dalam kalangan negara yang sedang mencari alternatif pasaran selain China.
Namun begitu, katanya, Malaysia perlu menetapkan syarat perpindahan teknologi dalam setiap perjanjian pelaburan bagi memastikan negara tidak sekadar menjadi pengeksport bahan mentah sebaliknya mampu menikmati nilai tambah menerusi pembangunan industri hiliran yang bernilai tinggi.
“Jika Malaysia berjaya membangunkan industri nadir bumi jenis ion adsorption clay (IAC) secara keseluruhan, ia akan membantu meningkatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara setiap tahun.
“Industri ini mampu menarik pelaburan asing secara langsung kerana nadir bumi mempunyai permintaan yang tinggi di peringkat global dan banyak negara mencari alternatif pasaran selain China,” katanya. – UTUSAN










