Lombong REE di hutan simpan masih dikaji - Nik Nazmi

Lombong REE di hutan simpan masih dikaji – Nik Nazmi

REE
NIK Nazmi Nik Ahmad ditemui pemberita ketika meninjau kontena simpan sisa haram yang ditahan pihak berkuasa dekat Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Isu perlombongan unsur nadir bumi (REE) di dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) masih dalam peringkat kajian Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya sedang melakukan kajian bagi memastikan perkara itu dapat diteliti secara berhati-hati yang mungkin memerlukan syarat ketat.

“Namun, bagi kawasan luar hutan simpan kekal, ia adalah bebas dan tiada isu untuk melombong di kawasan itu seperti di Kenering, Perak,” katanya selepas meninjau kontena sisa haram di Pelabuhan Utara, hari ini.

Terdahulu, beliau memaklumkan bahawa sebarang aktiviti perlombongan REE adalah dilarang di kawasan HSK, Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) dan kawasan rizab perlindungan.

Aktiviti di kawasan lain bagaimanapun masih boleh diteruskan tertakluk kepada pematuhan dasar, akta dan garis panduan yang ditetapkan.

Utusan Malaysia pada November tahun lalu melaporkan polisi menyekat aktiviti perlombongan di HSK perlu dihapuskan sekiranya negara berhasrat untuk meneroka REE yang berpotensi menjadi sumber kekayaan baharu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyatakan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan perlombongan mineral itu tidak akan dapat digubal selagi polisi itu berkuat kuasa.

Ketiadaan SOP yang seterusnya menghalang pengeluaran lesen melombong (ML) itu amat merugikan kerana bahan itu mendapat permintaan tinggi khususnya dalam pembuatan bateri untuk kenderaan elektrik (EV).

Kata Nik Nazmi, semua kerajaan negeri digalakkan membenarkan perlombongan REE namun perlu mengikut syarat dan SOP ditetapkan.

“Ia akan meningkatkan persaingan dalam industri itu dan kerajaan tidak meminggirkan mana-mana negeri untuk berbuat demikian.

“Namun, ia perlu mengikut syarat dan penguatkuasaan atau peroperasian itu di bawah kuasa kerajaan negeri,” katanya.

Tambah beliau, kejayaan Lynas Rare Earths Malaysia (Lynas) memulakan pengeluaran pertama unsur nadir bumi berat terasing luar dari China disifatkan sebagai perkembangan positif.

“Loji Lynas di Gebeng, Pahang itu menjadi loji pertama yang dapat memproses sumber berkenaan di luar republik tersebut. Jadi, ia meningkatkan lagi persaingan sedia ada dan kita sememangnya mempunyai hubungan baik dengan China dan Australia dalam sektor itu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN