Lokasi cari kepah bahaya, bukan kawasan rekreasi

Lokasi cari kepah bahaya, bukan kawasan rekreasi

LOKASI penduduk yang seolah-olah berpesta mencari kepah di Pantai Muara Balok, Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Lokasi orang ramai mencari kepah di Pantai Muara Balok di sini, bukan kawasan rekreasi sebaliknya merupakan laluan nelayan berulang-alik menangkap ikan kerana terdapat jeti di situ.

Penyelidik Bidang Biologi Marin yang juga pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan, Prof. Madya Dr. Zaleha Kassim berkata, lokasi tersebut merupakan muara terus ke Laut China Selatan.

“Muara ini memang tempat bahaya, arus pasang dan surut memang laju. Awal tahun pun ada kematian disebabkan mencari kepah.

“Ia juga kawasan laluan nelayan keluar masuk, jadi memang ada alur-alur yang dalam walaupun ada kawasan cetek. Jika dibawa arus dan melalui alur dalam itu, memang ‘tiada maaf’,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Terdahulu, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang dilaporkan hilang ketika berkelah bersama keluarga berhampiran jeti di muara Sungai Balok ditemukan lemas.

Mayat mangsa, Nur Afia Ramadhannie Zolkurnain yang beralamat di Kampung Sungai Ular ditemukan pukul 12.40 tengah malam kelmarin kira-kira 200 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Difahamkan, mangsa ke lokasi tersebut bersama keluarga untuk mandi-manda dan mencari kepah sebelum disedari hilang sekitar pukul 3.50 petang, Sabtu lalu.

Dr. Zaleha berkata, ketika mengadakan kerjasama minggu lalu dengan nelayan dan penduduk di situ di bawah kursus wajib universiti, pihaknya ada membuat teguran apabila melihat orang ramai seakan-akan berpesta mencari kepah di situ.

“Tetapi mereka (penduduk) tidak mahu dengar. Muara di situ memang tempat bahaya,” katanya.

Ditanya adakah terdapat pasir jerlus di situ, beliau berkata, sepanjang pengetahuannya tiada.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN