Lembu seludup dari Thailand berisiko bawa maut-Polis Kelantan

Lembu seludup dari Thailand berisiko bawa maut-Polis Kelantan

MOHD. Yusoff Mamat (kiri) menyampaikan surat penghargaan kepada pegawainya atas khidmat cemerlang semasa Perhimpunan Bulanan Polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kawalan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini akan terus diperketatkan dalam usaha membendung kemasukan lembu-lembu seludup dari negara jiran yang dibimbangi terkena jangkitan antraks sekali gus boleh membawa maut kepada orang ramai.

Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kembimbangan itu berasas selepas Thailand merekodkan satu kematian akibat jangkitan antraks telah direkodkan di negara berkenaan pada 1 Mei lalu.

“Bila masuk secara haram (seludup) lembu-lembu ini tidak menjalani proses kuarantin oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

“Jadi kita tidak dapat periksa (penyakit) membuatkan kita risau sama ada haiwan itu mempunyai penyakit atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, Polis Kelantan menjangkakan aktiviti penyeludupan lembu akan meningkat menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi untuk tujuan ibadah korban.

Katanya, harga lembu seludup yang murah menyebabkan permintaan terhadap haiwan tersebut menjadi tinggi.

“Situasi itu menyebabkan orang ramai sanggup mengambil risko memilih harga murah berbanding faktor keselamatan.

“Penyeludupan haiwan secara tidak sah bukan sahaja boleh menyebarkan penyakit berjangkit kepada haiwan ternakan tempatan, malah turut berisiko menular kepada manusia,” ujarnya.

Mohd. Yusoff berkata, setakat ini hampir 20 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok telah dikenal pasti sebagai lokasi penyeludupan lembu bermula dari Rantau Panjang sehingga ke Jeli.

Katanya, sepanjang tahun lalu sebanyak 390 ekor lembu dan 25 kerbau seludup telah berjaya dirampas oleh pihak berkuasa sempadan seperti Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan beberapa agensi lain yang berkaitan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN