TANAH MERAH: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas lapan ekor lembu seludup dari Thailand untuk dijadikan sebagai stok menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi selepas menahan sebuah lori di Kampung Batu Gajah di sini malam tadi.
Dalam Op Taring Wawasan Kelantan, Batalion 9 turut menahan pemandu lori tersebut yang berusia 34 tahun untuk membantu siasatan.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, lori tersebut ditahan pada pukul 7.20 malam selepas kenderaan tersebut dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Karanya, pemeriksaan lanjut yang dilakukan telah menjumpai lapan ekor lembu yang dipercayai diseludup dari Thailand tanpa dokumen sah.
“Kita tidak menolak kemungkinan lembu-lembu ini dibawa masuk secara haram untuk upacara korban semasa sambutan Hari Raya Aidiladha.
“Siasatan awal mendapati, haiwan tersebut akan dihantar ke Grik, Perak,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, nilai rampasan termasuk lori dianggarkan berjumlah RM260,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
Katanya, Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan lanjut.-UTUSAN