BENTONG: Kerajaan Pahang kini secara rasmi menyertai usaha strategik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dalam usaha penswastaan FGV Holdings Berhad (FGV).
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penyertaan kerajaan negeri dalam kerangka Person Acting in Concert (PACs) mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap agenda pemerkasaan ekonomi peneroka dan pembangunan sosioekonomi luar bandar.
Menurut beliau, Pahang tidak hanya mahu menjadi pemerhati tetapi turut turun padang menyokong Felda memperkukuh rantaian nilai industri perladangan, khususnya dalam memastikan kelangsungan FGV yang berkait rapat dengan masa depan warga peneroka.
“Sokongan ini akan memperkukuh keyakinan peneroka Felda terhadap masa depan mereka. Ia juga berupaya merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri melalui kestabilan operasi FGV yang menjadi pemacu penting sektor agrokomoditi,” katanya pada majlis ramah mesra Felda bersama Menteri Besar di Genting Highlands di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, langkah penyertaan itu menyaksikan Pahang bersama Felda sebagai PACs dalam menjayakan Voluntary Take Over Offer (VTO), bertujuan memperkukuh kedudukan agensi tersebut sebagai pemilik utama FGV dengan penguasaan sedia ada sebanyak 82 peratus.
Menurutnya, kerajaan negeri pula memiliki lima peratus saham dalam FGV, menjadikan gabungan itu kekuatan baharu yang signifikan dalam memacu transformasi syarikat dan mengukuhkan keupayaan strategik industri perladangan negara.
Bagaimanapun, ujarnya, bagi mencapai kawalan penuh ke atas FGV, Felda perlu mencapai 90 peratus pegangan, justeru baki tiga peratus memerlukan kerjasama kerajaan Sabah serta beberapa institusi pelaburan perladangan lain.
Menurutnya, penyertaan itu merupakan pelaburan jangka panjang yang strategik dan mampu memberikan limpahan manfaat kepada rakyat, khususnya warga peneroka Felda di Pahang.
Sementara itu, Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan keterlibatan kerajaan Pahang sebagai rakan strategik utama merupakan satu lonjakan besar dalam misi memulihkan kedudukan korporat FGV.
Beliau berkata, dengan kepercayaan dan dukungan penuh dari kerajaan Pahang, Felda kini lebih bersedia mengorak langkah menyusun semula strategi operasi FGV agar syarikat itu kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa.
“Gabungan kekuatan Felda dan Pahang mampu menjadi pemangkin kepada pelbagai pembaharuan korporat yang lebih berkesan, sekali gus mengembalikan semula maruah dan daya tahan FGV,” katanya. – UTUSAN