KANGAR: Kerajaan negeri akan menilai pelbagai aspek termasuk isu perundangan agar keputusan yang dibuat dalam isu Gua Cenderawasih memberi manfaat terbaik kepada semua pihak.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, susulan itu, kerajaan negeri akan mengadakan satu mesyuarat khas dalam masa terdekat bagi membincangkan isu pembangunan Gua Cenderawasih.
Katanya, mesyuarat tersebut akan melibatkan pelbagai jabatan dan agensi berkaitan dalam Jawatankuasa Geopark negeri.
“Mengenai pembangunan di Gua Cenderawasih, kita akan duduk semeja dengan semua jabatan seperti Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Jabatan Mineral dan Geosains, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri dan sebagainya.
“Dalam mesyuarat itu, kita akan meneliti semula undang-undang dan peraturan secara menyeluruh berkaitan geopark bagi mengharmonikan keadaan,” katanya kepada pemberita di Kompleks Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Shukri, sekiranya keputusan mesyuarat tersebut memberi kesan buruk kepada status geopark negeri, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menarik diri daripada projek pembangunan Gua Cenderawasih.
Katanya, buat masa ini, isu pembangunan di kawasan itu kekal ditangguhkan sehingga satu keputusan muktamad dicapai selepas mesyuarat khas berkenaan.
“Mesyuarat Exco malam semalam turut dibangkatkan mengenai usaha membaik pulih sebarang aktiviti yang menjejaskan geotapak negeri. Perkara itu juga akan dibawa dalam mesyuarat khas bersama beberapa agensi terlibat bagi tindakan susulan,” katanya.-UTUSAN