Kerajaan negeri perlu urus komunikasi dengan baik - Fathul Bari - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri perlu urus komunikasi dengan baik – Fathul Bari

FATHUL BARI MAT JAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Setiap rakyat boleh terus bersuara dengan sebarang pelaksanaan sistem yang menekan, namun seharusnya tidak mencemarkan nilai adab dan undang-undang ditetapkan.

Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, tindakan vandalisme bukanlah merupakan saluran untuk menyuarakan ketidakpuasan hati dan hanya mencerminkan kegagalan seseorang mengurus perbezaan pandangan secara beradab.

“Oleh itu, sekiranya perbuatan individu yang bertindak merosakkan mesin parkir pintar di sekitar Kangar yang tular sebelum ini dilakukan secara sengaja, maka tindakan berkenaan adalah sangat tidak bermoral dan memalukan.

“Namun demikian, kerajaan negeri juga tidak boleh bersikap suci tanpa cela dan jangan hanya pantas menghukum rakyat, sedangkan kegagalan sebenar berpunca daripada pelaksanaan yang kelam-kabut dan komunikasi lemah,” katanya.

Fathul Bari berkata demikian bagi mengulas penularan kes satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan sebuah kenderaan melanggar dan merosakkan mesin parkir pintar di Jalan Seruling, di sini, hari ini.

Terdahulu, polis turut mengesahkan telah menahan suspek yang merupakan seorang peniaga berusia 62 tahun dipercayai terlibat dengan perbuatan khianat itu di hadapan sebuah bank di Jalan Raja Syed Alwi, Pusat Bandar Kangar, di sini.

Fathul Bari berkata, isu itu bukannya sekadar tentang sistem parkir namun turut melibatkan soal kepercayaan rakyat terhadap keupayaan kerajaan negeri mengurus dan mentadbir.

“Rakyat bukannya menolak kemajuan tetapi mereka menolak pelaksanaan yang bercelaru serta pendekatan yang kelihatan angkuh dan meminggirkan suara awam,” katanya.

Dalam pada itu, Fathul Bari turut menggesa kerajaan negeri bertindak segera menerbitkan dokumen rasmi tentang pertanyaan sering diajukan (FAQ) atau video buat masyarakat berhubung pelaksanaan sistem parkir pintar ini.

Katanya, kerajaan negeri juga diharap dapat mewujudkan ruang dialog bersama pihak berkepentingan seperti peniaga, penjaja, pengguna dan wakil komuniti.

“Sekiranya dialog terbuka dianggap terlalu sensitif, maka setidak-tidaknya tampil dengan penjelasan bertulis yang jujur dan terbuka,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya