KUANTAN: Kerajaan Pahang perlu menolak sebarang bentuk pemutihan yang akan memberi ganjaran kepada penceroboh yang menanam durian secara haram di kawasan tanah kerajaan dan hutan simpan di negeri ini.
Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, pencerobohan tanah kerajaan adalah perbuatan salah laku yang melanggar undang-undang dan tiada ruang rundingan untuk pihak yang berbuat demikian.
“Berhubung isu pencerobohan tanam di Raub, ia bukan baharu. Sudah 40 tahun berlaku. Adakah wajar mereka terlibat ditawarkan skim pemutihan?
“PSAP berpandangan, ia tidak wajar sama sekali kerana penceroboh terlibat sudah terlalu lama mengaut keuntungan dan selama ini pun mereka tidak bayar cukai. Jadi, cukup-cukuplah keuntungan yang mereka peroleh selama ini.
“Memberi ganjaran kepada penceroboh melalui skim pemutihan hanya akan membuka pintu kepada lebih banyak pencerobohan pada masa akan datang,” katanya di sini hari ini.
Semalam, Pihak Berkuasa Negeri Pahang (PBN) memberi peluang kepada pekebun durian haram di Raub, dekat sini untuk menyertai skim pemutihan dalam tempoh dua bulan akan datang.
Ketua Unit Penguatkuasaan PBN, Saifullah Muhammad Ali berkata, proses pemutihan itu akan dilakukan sejurus selesai proses pemusnahan 500 ekar durian haram terlibat sebelum ini.
Mengulas lanjut, Haslihelmy berkata, penyelesaian menerusi skim pemutihan dibimbangi akan menjadikan pelanggaran undang-undang sebagai satu jalan pintas kepada pemilikan sah.
“Tanah diceroboh adalah tanah kerajaan. Penceroboh terbabit pun sudah lama mengaut keuntungan. Jadi, tidak perlu lagi pemutihan, kerajaan negeri atau syarikat milik kerajaan negeri boleh ambil alih sepenuhnya tanpa perlu melalui skim pemutihan atau rundingan,” katanya.
Tegasnya, PSAP berpegang kepada prinsip bahawa undang-undang tidak boleh dikompromi, dan keuntungan tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan sesuatu kejahatan. – UTUSAN