KUALA LUMPUR: Program Sekolah Patriotik UMNO (SPU) berkesan melahirkan belia berjiwa negara apabila seramai 48 pelajar kumpulan pertama berjaya menamatkan pengajian mereka.
Ketua Pelajar Sekolah Patriotik UMNO, Ameerul Zafran Saiful Amir berkata, mereka bukan sekadar pelajar tetapi pejuang muda yang diasuh untuk memahami makna sebenar perjuangan parti.
“Perjuangan dalam UMNO bukan semata-mata berkisar kepada kuasa dan politik, sebaliknya menuntut keikhlasan, amanah serta tanggungjawab untuk membina masa depan bangsa dan negara.
“Kami dibentuk secara holistik merangkumi aspek rohani, jasmani dan intelektual agar menjadi pemimpin yang seimbang dan bersedia menyambung perjuangan,” katanya ketika ditemui selepas konvokesyen sekolah tersebut yang diadakan serentak dengan sambutan Hari UMNO Ke-79 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, semalam.
Majlis konvokesyen itu mencerminkan usaha berterusan UMNO dalam membentuk generasi muda yang bukan sahaja celik politik, tetapi juga teguh jati diri dan cinta pada negara.
Ameerul berkata, program berkenaan membuka mata peserta tentang peranan sebenar pemimpin muda dalam konteks perjuangan nasional.
“Majlis konvokesyen ini bukan penutup, sebaliknya titik mula kepada episod baharu dalam perjuangan kami sebagai pelapis generasi,” katanya.
Pada 26 Januari, Sekolah Patriotik UMNO telah ditubuhkan dan Naib Presiden UMNO,Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Patriotik UMNO.
Penyertaan PATRIOT 1 ini melibatkan penyertaan 50 pelajar terpilih dari seluruh negara daripada pelbagai latar belakang.-UTUSAN.