KOTA BHARU: Kerajaan perlu mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) dan kesesuaian kenderaan untuk membawa anggota keselamatan termasuk dalam penugasan operasi susulan tragedi yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) semalam.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Dr. Adnan Mat berkata, setiap agensi kerajaan perlu mengambil langkah awal dalam memastikan tahap keselamatan kenderaan termasuk kesesuaian kenderaan digunakan.
Menurutnya, selain itu jumlah anggota yang sepatutnya berada dalam kenderaan tersebut perlu diambil kira termasuk penggunaan tali pinggang keledar.
“Kita perlu lihat kembali apakah pengangkutan yang sesuai digunakan dalam operasi disertai anggota keselamatan, termasuk untuk pergi ke sesuatu tempat bagi menjalani kursus atau sebagainya.
“Majikan atau kementerian perlu menyediakan pengangkutan bersesuaian kepada anggota-anggota terlibat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Seminar Pengukuhan Penguatkuasaan Akta Kesihatan Awam 2025 anjuran Kesatuan Inspektor Kesihatan Semenanjung Malaysia (Cawangan Timur), di sini hari ini.
Semalam media melaporkan sembilan anggota FRU maut, dua kritikal manakala tujuh cedera apabila kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak pada pagi semalam.
Kejadian berlaku ketika 18 anggota FRU Unit 5 yang berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh, Perak dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai penugasan keselamatan perayaan Chitrapournami di daerah Hilir Perak.
Adnan bagaimanapun memberitahu, satu bentuk perlindungan menyeluruh perlu digariskan dalam skim perkhidmatan akan datang termasuk dari segi pampasan, kebajikan waris dan keselamatan pekerjaan.
“Kita tidak mahu waris kepada penjawat awam yang terkorban ketika bertugas terkapai-kapai tanpa jaminan sewajarnya, hanya disebabkan skim lama dimansuhkan.
“Pada masa sama, kita mahu melihat kebajikan dalam bentuk tragedi dilihat kembali oleh kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam supaya tragedi kehilangan nyawa ini mendapat pulangan setimpal dengan pengorbanan mereka,” ujarnya.-UTUSAN