KUANTAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang menumpaskan cubaan menyeludup dadah jenis ganja ke luar negara melalui perkhidmatan kurier di Pusat Mel dan Kurier, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5 Mei lalu.
Pengarah JKDM Pahang, Mohd. Asri Seman berkata, rampasan tersebut membabitkan tiga kes berasingan dengan anggaran keseluruhan nilai sitaan mencecah RM1,405,320.
Menurutnya, dalam kes pertama, pasukan operasi dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Temerloh dengan kerjasama Bahagian Perkastaman KLIA menemukan bungkusan mencurigakan mengandungi bahan organik disyaki bunga ganja seberat 6,200 gram yang disembunyikan dalam sarung bantal.
“Nilai rampasan bagi kes ini sahaja dianggarkan RM666,400,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah, Indera Mahkota di sini.
Mohd. Asri berkata, dalam kes kedua pula, pasukan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Bentong menerima serahan kes sebelum menjalankan pemeriksaan terhadap beberapa bungkusan yang turut menunjukkan imej bahan organik selepas diimbas.
“Hasil pemeriksaan menemui 3,200 gram bunga ganja disembunyikan dalam pakaian dengan nilai rampasan dianggarkan RM313,600,” katanya.
Menurutnya, kes ketiga membabitkan pasukan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuantan yang menerima serahan kes sekitar pukul 3.30 petang.
“Pemeriksaan mendapati bungkusan tersebut mengandungi 4,340 gram bunga ganja yang juga disorok dalam pakaian, dengan nilai sitaan RM425,320,” ujarnya.
Beliau berkata, ketiga-tiga kes itu kini masih dalam siasatan dan dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.
Katanya, modus operandi sindiket adalah menggunakan perkhidmatan kurier tempatan yang dengan duanya beralamat di Terengganu dan satu di Selangor, dengan barangan dihantar ke pusat kurier di KLIA sebelum dieksport ke luar negara.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup beserta tidak kurang daripada 15 sebatan jika sabit kesalahan. – UTUSAN