KANGAR: Isu pembangunan kafe di Gua Cenderawasih di sini yang menjadi polemik akan dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat Exco hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, perkara itu perlu dibincangkan secara teliti agar pembangunan dan pemeliharaan khazanah alam dapat dilaksanakan secara seimbang.
“Kerajaan negeri akan perhalusi isu tersebut secara menyeluruh dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk agensi teknikal dan pakar geologi,” katanya.
Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dalam kenyataan pada Ahad lalu memaklumkan bahawa mereka belum menerima permohonan rasmi daripada pengusaha mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mendapatkan ulasan teknikal bagi pembangunan atau pengoperasian kafe di Gua Cenderawasih.
Sebelum ini, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyuarakan bantahan terhadap pembinaan kafe itu yang dikhuatiri boleh menjejaskan khazanah geologi dan alam semula jadi di kawasan gua berkenaan.
Ekoran itu, Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli mengumumkan penangguhan pembinaan kafe di gua itu bagi meneliti beberapa peraturan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) berkaitan geotapak.
Sementara itu, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) meminta pihak mendakwa kewujudan fosil berusia jutaan tahun di Gua Cenderawasih di sini agar dapat mengemukakan bukti saintifik kukuh berhubung perkara itu.
Yang Dipertuanya, Affendi Rajini Kanth berkata, setakat ini, pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat teknikal atau dokumen rasmi bagi menyokong dakwaan mereka berkaitan kewujudan fosil di gua yang dikatakan bernilai tinggi daripada segi geologi.
Katanya, buat masa ini, kerja pembangunan di gua itu telah dihentikan sejak 30 April lalu bagi memberi ruang kepada penilaian semula dan pandangan pakar yang mempunyai autoriti atau kelayakan mengenainya.
Ujar beliau, usaha pembangunan atau pengoperasian kafe di Gua Cenderawasih itu berniat baik tanpa langsung berniat untuk menjejaskan khazanah geologi dan alam semula jadi di kawasan gua berkenaan.
“Sekiranya benar wujud fosil seperti dakwaan maka pihak terbabit perlu tampil dengan bukti yang kukuh kerana MPK tidak boleh membuat keputusan hanya berdasarkan andaian semata-mata.
“Jika ditinjau tidak beberapa jauh dari kawasan gua berkenaan terdapat pembangunan cantik dan perubahan ketara di Taman Bunga Kertas Lailatul Shahreen kelolaan MPK. Persoalannya, apabila siap taman tersebut kelak dan dibiarkan Gua Cenderawasih seperti yang dikehendaki oleh beberapa pihak konon atas nama perjuangan, maka siapa yang akan dipersalahkan nanti,” katanya semalam.-UTUSAN