JERANTUT: Peranan ibu bapa sebagai pendidik utama di rumah penting bagi membimbing anak-anak agar tidak hanyut dalam ketagihan penggunaan telefon bimbit.
Pengerusi Biro Sosial dan Komuniti Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, kecuaian ibu bapa memantau dan menetapkan sempadan penggunaan gajet dalam kalangan anak-anak mereka boleh membawa kesan jangka panjang terhadap sahsiah, kesihatan dan interaksi sosial generasi muda.
Tegasnya, tanpa pengawasan dan didikan berterusan di rumah, kanak-kanak yang terlalu bergantung kepada skrin telefon bukan sahaja mengabaikan pelajaran, malah berdepan risiko kesihatan mata, keruntuhan komunikasi keluarga dan terhakisnya nilai kesopanan.
“Fenomena ini turut menyumbang kepada kelemahan dalam pergaulan dan pembentukan personaliti anak-anak yang sepatutnya sedang berkembang, namun terbantut kerana terlalu lama berada dalam dunia maya yang pasif dan tertutup.
“Kita lihat anak-anak hari ini kurang bertegur sapa, tidak tahu menyapa tetamu, sukar berbual dengan saudara mara. Semua ini berpunca daripada kurangnya komunikasi mata ke mata dan kebergantungan berlebihan terhadap skrin,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kali ke-24 Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak, Sungai Tekam di sini hari ini.
Razak menambah, sikap individualistik mula menguasai minda anak-anak yang terlalu lama terdedah kepada dunia digital dan akhirnya menjadikan mereka kurang mesra, tidak peka terhadap persekitaran dan lemah dalam bersosial.
Jelasnya, ibu bapa tidak boleh melepaskan tanggungjawab mendidik anak-anak kepada guru dan sekolah semata-mata kerana pembentukan sahsiah bermula daripada rumah dan diperkuatkan oleh teladan ibu bapa sendiri.
“Anak belajar lebih banyak melalui pemerhatian. Jika ibu bapa sendiri leka dengan telefon, maka anak juga akan meniru. Ibu bapa perlu jadi model teladan, bukan hanya menyuruh tetapi menunjukkan melalui perbuatan,” ujar aktivis masyarakat tersebut.
Beliau turut mencadangkan agar ibu bapa menetapkan waktu bebas gajet dalam rutin harian seperti ketika makan malam atau sebelum tidur, bagi membolehkan komunikasi dan hubungan kekeluargaan diperkukuhkan.
“Kita mesti kembali kepada fitrah. Anak-anak memerlukan perhatian dan kasih sayang, bukan semata-mata hiburan digital. Sentuhan, pelukan dan perbualan adalah terapi emosi yang tidak boleh digantikan oleh telefon,” katanya yang juga Pengerusi Gabungan 37 Masjid Felda Wilayah Jengka.
Dalam masa sama, Razak mencadangkan agar sekolah dan komuniti bekerjasama menganjurkan lebih banyak bengkel keibubapaan dan program kesedaran digital agar ibu bapa mempunyai ilmu dan alat untuk mengawal penggunaan gajet dalam rumah tangga. – UTUSAN