JERANTUT: Ibu bapa generasi baharu disaran agar lebih proaktif memahami kehendak dan kecenderungan anak-anak Generasi Z yang semakin terdedah dengan pengaruh teknologi moden serta perubahan gaya hidup masa kini.
Pengerusi Biro Sosial dan Komuniti Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, landskap pembesaran anak-anak hari ini berbeza berbanding dua dekad lalu kerana dunia digital sudah menjadi ruang utama pembentukan pemikiran dan emosi mereka sejak awal usia.
Menurut beliau, tanpa pendekatan dan kefahaman yang bersesuaian, jurang komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak akan menjadi semakin luas, sekali gus menyulitkan proses pembentukan sahsiah serta jati diri yang seimbang.
“Ibu bapa pada hari ini bukan sahaja perlu tahu masak, kemas rumah dan mendidik dengan nilai agama, bahkan mereka juga harus bersedia berubah, celik gajet, tahu trend semasa dan mampu berkomunikasi dalam bahasa serta gaya generasi baharu,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (LKTP) Sungai Tekam Utara di sini hari ini.
Razak berkata, terdapat kecenderungan dalam kalangan anak-anak yang tidak lagi melihat nilai dalam sistem pendidikan formal sehingga ada yang memilih untuk tidak menyambung pelajaran selepas tamat persekolahan.
“Ramai yang cenderung ke arah laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau terus mencari peluang pendapatan dalam talian seperti menjadi penstrim permainan dan pempengaruh media sosial,” ujarnya.
Justeru, katanya, ibu bapa perlu mendekati anak-anak dengan pendekatan penuh hikmah dan bukan menolak mentah-mentah minat mereka, sebaliknya membimbing agar mereka tahu membezakan antara ‘minat’ dan ‘masa depan’.
Beliau menyarankan agar golongan ibu bapa diberi pendedahan melalui bengkel atau seminar teknologi digital agar dapat mengenal pasti saluran-saluran yang diikuti anak-anak serta memahami risiko dan peluang dalam dunia maya.
“Ibu bapa tidak boleh hanya berserah kepada guru di sekolah atau berharap kepada pihak kerajaan semata-mata. Peranan ibu dan ayah hari ini lebih mencabar, kerana perlu mendidik di alam nyata dan juga alam siber,” katanya. – UTUSAN