ARAU: Majlis Perbandaran Kangar (MPK) menerima lebih 30 permohonan permit sementara daripada peniaga yang ingin menjual buah mempelam harumanis di tepi-tepi jalan utama sekitar Perlis pada tahun ini.
Yang Dipertuanya, Affendi Rajini Kanth berkata, tempoh permit sementara itu adalah bergantung kepada permohonan yang dibuat malah kelulusan akan diberikan kepada peniaga berkenaan sekiranya lokasi yang dipilih diakui selamat serta tidak menganggu lalu lintas.
Beliau berkata, MPK juga akan mendapatkan ulasan daripada agensi berkaitan terlebih dahulu sebelum permit sementara itu dikeluarkan kepada peniaga terlibat.
“Apabila mereka memohon, penguatkuasa MPK akan membuat lawatan bagi meninjau lokasi berkenaan supaya mereka dapat mematuhi arahan dengan beroperasi di lokasi selamat.
“MPK cuba untuk luluskan seberapa banyak permohonan dan meminta agar mereka untuk mematuhi semua syarat-syarat yang telah ditetapkan,” katanya ketika ditemui selepas Operasi Bersepadu (Ops Harumanis) Perlis di Lebuhraya Kuala Perlis-Changlun, di sini, hari ini.
Antara agensi lain yang turut sama dalam operasi bersepadu itu adalah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pertanian negeri.
Mengulas lanjut, Affendi berkata, operasi bersepadu itu memfokuskan kepada pematuhan peniaga terhadap peraturan dan akta yang dikuatkuasakan di bawah agensi-agensi berkaitan.
“Setakat operasi yang dijalankan ini, kita dapati semua peniaga patuh kepada peraturan ditetapkan oleh setiap agensi berkaitan,” katanya.
Dalam pada itu, Affendi berkata, antara elemen penting yang diberi perhatian oleh MPK ke atas peniaga yang beroperasi di tepi jalan utama adalah melibatkan aspek keselamatan dalam menggelakkan berlakunya kecelakaan jalan raya.
“Setiap gerai yang beroperasi di laluan utama juga seharusnya terletak dalam jarak lingkungan 12 kaki dari jalan raya.Ini antara syarat yang MPK tetapkan dan kita harap peniaga dapat patuhi perkara ini demi kebaikan semua pihak,” katanya.-UTUSAN