ARAU: Menjadi kelaziman aktiviti sukaneka sering kali dianjurkan oleh guru-guru untuk menceriakan murid di sekolah.
Namun, bersempena sambutan Hari Guru peringkat Sekolah Tengku Budriah (STB) di sini, semalam, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu membuat kejutan menganjurkan sukaneka untuk guru sekali gus memeriahkan sambutan berkenaan.
Pelbagai aktiviti dan permainan menarik diatur untuk guru-guru bermula dari pukul 9 sehingga 11 pagi yang sekali gus memberi keceriaan kepada guru-guru yang selama ini banyak berkorban dalam memberi pendidikan untuk anak-anak di sekolah.
Lebih menarik, guru dan murid yang datang ke sekolah berfesyen ala Hawaii mengikut tema seterusnya turut menyertai aktiviti sukaneka diadakan di padang sekolah.
Yang Dipertua PIBG, Saifol Zairy Abd. Rahim berkata, persediaan membuat kejutan untuk guru melalui aktiviti sukaneka tersebut diatur sejak hampir sebulan lalu dan akhirnya ia berjaya direalisasikan sekali gus memeriahkan sambutan Hari Guru peringkat sekolah ini.
Katanya, sebanyak empat permainan diatur seperti aktiviti bermain bola sepak memakai topeng, gelung gulung-guling galang dan pelbagai lagi aktiviti.
Ujar beliau, pihak PIBG juga mengaturkan aktiviti khas untuk meraikan guru-guru yang bakal bersara melalui permainan yang diberi nama peralihan perairan pencen.
“Suasana cukup meriah khususnya ketika permainan di mana guru-guru menyarung guni serta bertopi keledar berlumba dengan melompat untuk menamatkan permainan.
“Permainan guru-guru lelaki memakai topeng sambil bermain bola juga merupakan antara aktiviti cukup unik yang menarik perhatian mereka yang memenuhi padang sekolah bagi menyaksikan permainan tersebut.
“Selain guru, murid-murid juga bersama dalam memberi sokongan kepada guru-guru yang terlibat dalam aktiviti sukaneka tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Saifol Zairy berkata, idea mengadakan aktiviti sukaneka untuk guru ini adalah pertama kali dilaksanakan oleh pihak PIBG dan ia merupakan satu kelainan yang ditampilkan sempena sambutan Hari Guru peringkat sekolah kali ini.
“Sempena sambutan Hari Guru, kami daripada pihak ibu bapa mengambil kesempatan untuk meraikan guru-guru yang sememangnya sangat berjasa dalam mendidik anak bangsa,” katanya.-UTUSAN