TANAH MERAH: Semua individu yang bertanding pada Pemilihan PKR 2025 yang dijadual berlangsung hujung bulan ini diingatkan supaya tidak membuat sebarang provokasi atau sindiran terhadap calon-calon lain sepanjang tempoh berkempen.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kelantan, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md. Noor sebaliknya berkata, proses demokrasi yang sedang berlangsung dalam parti ketika ini perlu dihormati.
“Sebagai contoh, Datuk Seri Rafizi Ramli selaku penyandang jawatan Timbalan Presiden mempunyai hak untuk bertanding, begitu juga dengan Nurul Izzah Anwar (Naib Presiden).
“Bagaimanapun, hanya satu calon sahaja yang akan dipilih dan biarlah perwakilan menentukannya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Jom Masuk U Peringkat Parlimen Tanah Merah & Pelancaran Persatuan Pelajar IPT Tanah Merah (PINTAR) di Bilik Gerakan Utama UMNO Bahagian Tanah Merah, Batu 9, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Suparadi memberitahu, PKR Kelantan menyifatkan Nurul Izzah Anwar sebagai calon yang sesuai untuk mengisi jawatan Timbalan Presiden bagi sesi 2025-2028.
Katanya, pemilihan Nurul Izzah bukan disebabkan hubungan kekeluargaan dengan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi berdasarkan ketokohan dan pengalamannya yang terbukti sejak era Reformasi
“Beliau (Nurul Izzah) merupakan seorang pemimpin yang berwibawa dan mampu membawa pembaharuan dalam kepimpinan parti. Di Kelantan, kita menyokong Nurul Izzah kerana beliau mempunyai kelayakan yang lengkap untuk memegang jawatan tersebut.
“Beliau bukan sahaja pernah melalui zaman perjuangan Reformasi, tetapi juga mempunyai kekuatan dari segi daya tarikan terhadap kelompok pengundi utama seperti wanita dan anak muda.
“Nurul Izzah mempunyai kelebihan untuk meraih sokongan anak muda. Selain itu, hampir 40 peratus pengundi di negara ini terdiri daripada wanita,” ujarnya.-UTUSAN