SEREMBAN: India dan Pakistan digesa menghentikan sebarang bentuk serangan serta mengelak tindakan yang boleh memburukkan lagi ketegangan antara kedua-dua negara.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia telah menyatakan keperluan untuk menyiasat insiden keganasan yang mengorbankan ramai nyawa, mengenal pasti pihak bertanggungjawab serta memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap mereka terlibat.
Katanya, India dan Pakistan perlu berundur dan tidak melakukan apa jua tindakan yang boleh menyebabkan keadaan semakin tidak menentu.
“Saya harap supaya pemimpin kedua-dua negara memikirkan gambaran yang lebih besar lagi daripada melihat keadaan yang boleh menyebabkan hubungan kedua-dua negara itu terjejas.
“Malaysia telah dengan jelas menyatakan keperluan untuk menyiasat kejadian keganasan yang menyebabkan ramai yang terbunuh. Siapa yang bertanggungjawab dan tindakan perlu diambil ke atas siapa yang bertanggungjawab,” katanya ditemui sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Senawang 3, di sini semalam.
India dan Pakistan yang terlibat dalam pertikaian berpanjangan berhubung wilayah Kashmir telah berbalas serangan setiap hari sejak Rabu lalu.
Mohamad berkata, rakyat Malaysia terutama pelajar yang berada di India dan Pakistan khususnya di lokasi bergolak seperti di Kashmir dinasihatkan segera menghubungi pihak konsulat.
Katanya, langkah berkenaan bagi memastikan butiran penting seperti nombor telefon dan alamat terkini mereka dapat diperoleh konsulat bagi memudahkan pihak kedutaan menghubungi mereka jika terdapat keperluan.
“Setakat ini, tiada rakyat Malaysia yang terperangkap, belum ada apa-apa berita. Saya minta rakyat (Malaysia) di kawasan terlibat supaya mereka berhati-hati dan jika di luar kawasan terlibat, batalkan jika ada rancangan ke tempat (Kashmir) tersebut,” katanya.
Katanya, kedutaan Malaysia di New Delhi dan Islamabad telah mengeluarkan nasihat perjalanan agar rakyat Malaysia yang merancang ke negara tersebut menjadualkan semula perjalanan mereka.
“Kita amat bimbang dengan perkembangan ini kerana ia telah mengundang tindakan balas melibatkan serangan bersenjata, termasuk penggunaan dron dan roket. Keadaan seperti ini perlu dielakkan demi kestabilan dan keselamatan,” katanya. – MINGGUAN










