ECRL capai pemasangan penuh sistem komunikasi pertama di KotaSAS - Utusan Malaysia

ECRL capai pemasangan penuh sistem komunikasi pertama di KotaSAS

DARWIS Abdul Razak (depan) meninjau landasan ECRL di stesen Kota SAS di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencatatkan satu lagi kejayaan apabila pemasangan penuh Sistem Komunikasi, Informasi dan Semboyan (CIS) berjaya disempurnakan di Stesen ECRL KotaSAS, sekali gus menjadi stesen pertama dilengkapi sistem kejuruteraan rel berteknologi tinggi itu.

Pengarah Urusan China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. (CCC-ECRL), Deng Bo berkata, kejayaan dengan kerjasama Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) selaku pemilik projek berimpak tinggi itu menandakan pelaksanaan awal teknologi rel pintar di sepanjang jajaran laluan sejauh 665 kilometer dari Kota Bharu, Kelantan hingga ke Pelabuhan Klang, Selangor.

Katanya, sistem CIS berperanan sebagai ‘sistem saraf dan otak’ kepada operasi rel kerana ia menjamin keselamatan, kecekapan serta kelancaran perkhidmatan kereta api menerusi pelbagai fungsi pintar.

“Sistem ini meliputi perlindungan tren automatik, kawalan trafik dan penyampaian maklumat penumpang secara masa nyata. Penilaian Artikel Pertama yang dijalankan di KotaSAS akan menjadi penanda aras pemasangan sistem serupa di 20 stesen lain,” katanya dalam sidang akhbar di Stesen ECRL KotaSAS di sini.

Proses pemasangan sistem CIS bermula pada 15 Mac lalu dan siap sepenuhnya pada 20 Mei, disokong oleh empat bilik teknikal utama yang mengendalikan pengurusan rangkaian komunikasi, sistem data dan pengawasan, kawalan pergerakan tren serta perlindungan kilat.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, sistem CIS merupakan komponen utama dalam fasa operasi dan penyelenggaraan (O&M) rangkaian rel kerana ia memastikan bukan sahaja pergerakan tren yang selamat dan cekap, malah kebolehpercayaan sistem secara keseluruhan.

“Majlis hari ini membuktikan komitmen terhadap penilaian menyeluruh terhadap sistem kejuruteraan ECRL bagi memastikan kualiti, kebolehoperasian bersama dan pematuhan tertinggi tercapai,” katanya.

Tambahnya lagi, ECRL kini dalam persiapan menghadapi fasa ujian dan pentauliahan yang dijadual bermula pada Jun 2026.

Setakat April, projek ECRL mencatat kemajuan keseluruhan sebanyak 82.45 peratus dengan negeri Pahang merekodkan kadar penyempurnaan tertinggi iaitu 84.96 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN