Dua ADUN PN Pahang mahu tindakan tegas diambil terhadap penceroboh tanah negeri - Utusan Malaysia

Dua ADUN PN Pahang mahu tindakan tegas diambil terhadap penceroboh tanah negeri

JASRI Jamaluddin (kiri) dan Rosli Jabar (kanan)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) menjunjung kasih kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas keberangkatan mencemar duli meninjau kemusnahan khazanah negeri akibat pencerobohan haram yang sekian lama berlarutan.

ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaluddin dan ADUN Tanjung Lumpur, Datuk Rosli Jabar dalam kenyataan bersama berkata, ketegasan Al-Sultan Abdullah dalam menyuarakan isu ini, termasuk pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini manifestasi sebenar seorang raja berdaulat yang mempertahankan kedaulatan negeri dan maruah undang-undang.

“Namun malangnya, insiden terbongkar di Raub yang mana angka sebenar kawasan diteroka haram jauh melebihi angka dibentangkan dalam titah rasmi baginda. Ini menimbulkan tanda tanya yang serius terhadap ketelusan dan integriti pihak berkuasa negeri. Apakah maklumat kepada tuanku Sultan Pahang telah dimanipulasi? Apakah angka-angka ini sengaja dikecilkan untuk melindungi pihak-pihak tertentu?

“Lebih mendukacitakan, hingga kini tiada satu pun tindakan tegas dikenakan terhadap penceroboh tanah yang nyata bersalah. Tidak ada pendakwaan, kompaun, tiada pembatalan hak milik, malah seolah-olah terdapat unsur perlindungan sistematik terhadap kegiatan haram ini. Sikap berdiam diri dan gagal bertindak oleh pihak pentadbiran negeri bukan sahaja menghina titah tuanku, malah mencemar nama baik institusi raja dan menggugat keyakinan rakyat terhadap prinsip keadilan.

“Kerajaan negeri harus menjawab secara jujur siapa yang melindungi peneroka haram ini? Siapa yang mendapat manfaat daripada penanaman Musang King di atas tanah kerajaan dan hutan simpan kekal? Adakah terdapat campur tangan politik, termasuk daripada parti komponen tertentu yang dikenal pasti secara terbuka membela penceroboh, sehingga menyebabkan tindakan tidak dapat diambil?,” soalnya dalam kenyataan.

Dua ADUN itu juga menegaskan bahawa sebarang cubaan memperlekeh atau mengkhianati titah Sultan Pahang adalah tindakan tidak berperlembagaan dan tidak boleh dimaafkan.

“Ini bukan soal politik kepartian. Ini soal maruah negeri, keluhuran perlembagaan, dan kedaulatan undang-undang. Jika kerajaan negeri tidak lagi berani mengambil tindakan hanya kerana tekanan sekutu politik, maka langkah terbaik adalah untuk menilai semula komposisi kerajaan sedia ada.

“PN bersedia untuk memberi sokongan penuh kepada kerajaan negeri yang berani bertindak adil dan tegas terhadap penceroboh, tanpa takut atau tunduk kepada ugutan politik.

“Kita tidak boleh membiarkan pengkhianatan terhadap negeri ini terus berlaku atas nama kompromi politik. Jangan sampai suara raja, suara rakyat dan kedaulatan negeri ini menjadi bahan permainan angka dan retorik kosong semata-mata,” kata dua ADUN tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN