KUANTAN: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Pekan kesal dan kecewa dengan kenyataan dikeluarkan oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli yang menyentuh nama Muhammad Kamil Abdul Munim dalam nada yang boleh dianggap sebagai menghina dan merendahkan sumbangan ahli-ahli baharu serta generasi pelapis dalam perjuangan parti tersebut.
Ketua AMK Cabang Pekan, Muhammad Zubair Tugiman berkata, kenyataan Rafizi bukan sahaja kurang sopan dan tidak mencerminkan semangat kekeluargaan dalam PKR, malah dilihat seolah-olah mahu meminggirkan wajah-wajah baharu yang juga turut sama menabur bakti serta tenaga demi memastikan kesinambungan perjuangan parti itu kekal utuh dan relevan.
“Kami di peringkat AMK Cabang Pekan percaya bahawa setiap ahli parti, tidak kira baharu atau lama, mempunyai nilai dan peranan tersendiri dalam mengangkat agenda reformasi yang menjadi asas penubuhan PKR. Pendekatan menghina, memperlekeh atau membanding-bandingkan pengorbanan hanya akan mencetuskan perpecahan dan menjejaskan semangat kerja kolektif yang selama ini menjadi kekuatan utama parti ini.
“Rafizi seharusnya lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan, apatah lagi apabila menyentuh nama individu secara langsung. Sikap sedemikian boleh mencetuskan persepsi bahawa beliau merasa dirinya lebih mulia dan tinggi perjuangannya berbanding orang lain, satu sifat yang bercanggah dengan prinsip keterangkuman dan kesamarataan yang kita semua perjuangkan dalam PKR.
“AMK Cabang Pekan menuntut penjelasan terbuka daripada Rafizi dan berharap beliau bersedia memohon maaf secara terbuka kepada Muhammmad Kamil serta seluruh ahli parti yang terguris dengan kenyataan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Muhammad Zubair berkata, PKR bukan milik individu tertentu, sebaliknya milik semua yang ikhlas memperjuangkan agenda rakyat.
“Maka, sebarang bentuk keangkuhan atau sikap memperkecilkan orang lain mestilah ditolak dan ditegur secara terbuka demi menjaga integriti dan maruah perjuangan parti,” katanya.
Terdahulu, Menteri Ekonomi itu dilapor mendakwa pemilihan pada kali ini adalah untuk memberi laluan kepada Muhammad Kamil untuk memegang jawatan Ketua AMK bagi sesi 2025-2028 ia merupakan peluang terakhir berikutan usianya sudah pun mencecah 35 tahun.
Menurut Rafizi dalam ceramahnya pada jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (HIRUK) di Kota Bharu, Kelantan, malam tadi, justeru Muhammad Kamil tidak lagi berpeluang untuk merebut jawatan tersebut berikutan usianya sudah melebihi had untuk pemilihan bagi penggal akan datang. – UTUSAN