KUANTAN: Timbul persoalan berhubung masa depan pemain, Sergio Aguero bersama Sri Pahang apabila pemain itu dilihat memuat naik ucapan terima kasih buat rakan dan juga pihak pengurusan skuad tersebut di laman Instagram.
”Hari ini, sukar untuk saya ungkapkan dengan kata-kata apa ertinya Pahang dalam hidup saya.
“Lima tahun lalu, saya tiba di sini sebagai orang asing. Saya tidak tahu apa yang menanti dan yang saya bawa hanya impian dan harapan yang tinggi.
“Namun sejak hari pertama, Pahang menerima saya dengan tangan yang terbuka. Pahang berikan saya sebuah pasukan, sebuah rumah keluarga dan paling penting rasa dimiliki.
“Ke mana pun bola sepak membawa saya selepas ini, Pahang tetap akan kekal dalam hati saya,” tulisnya pemain kebangsaan tersebut.
Aguero turut merakamkan ucapan terima kasih buat pemilik Sri Pahang, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah atas segala jasa sepanjang lima tahun baik daripada segi kerjaya mahu pun kehidupan peribadi.
“Ini bukanlah sebuah ucapan selamat tinggal. Ini adalah janji bahawa saya akan selamanya jadi sebahagian keluarga Pahang,” katanya. – UTUSAN