RAUB: Tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia dicekup ketika sedang menceroboh kawasan Hutan Simpan Rotan Tunggal, Kampung Sang Lee, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd. Shahril Abdul Rahman berkata, suspek ditahan selepas dikesan menaiki motosikal memasuki kawasan hutan simpan tersebut secara haram.
“Pihak polis menerima maklumat kejadian itu pukul 8 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub serta Balai Polis Tranum digerakkan ke lokasi.
“Hasil pemerhatian sehingga pukul 12.30 tengahari telah berjaya menahan dua lelaki tempatan dan seorang lelaki Indonesia yang sedang menunggang motorsikal memasuki kawasan hutan simpan tersebut.
“Tangkapan dilakukan terhadap ketiga-tiga suspek berkenaan. Pihak polis menghubungi Pejabat Hutan Daerah Raub untuk tindakan dan siasatan selanjutnya,” katanya di sini semalam.
Tambah Mohd. Shahril, pemeriksaan oleh pihak Pejabat Hutan mengesahkan lokasi tangkapan berlaku dalam kawasan Hutan Simpan Rotan Tunggal selain terdapat kesan aktiviti pencerobohan tanah.
“Kesemua suspek dibawa ke IPD Raub untuk tindakan selanjutnya oleh Pejabat Hutan Daerah Raub di bawah Seksyen 88(1) Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya.
Sebarang maklumat berkaitan pencerobohan hutan boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan IPD Raub di talian 093552222. – UTUSAN