KUANTAN: Seramai 128 pemain dari negeri ini menyertai Kejohanan Sirkit Golf Piala Sultan Pahang 2025 sempena meraikan ulang tahun keputeraan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ke-66.
Kesemua pemain yang berusia 17 hingga 75 tahun akan bertanding dalam kejohanan yang berlangsung di empat venue secara berasingan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana merangkap Setiausaha Jawatankuasa Induk Kejohanan Sirkit Golf Piala Sultan Pahang 2025, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif berkata, acara pembukaan akan berlangsung di Mahkota Golf and Country Club (MGCC) Kuantan pada 1 Jun ini.
“Villea Rompin Resort and Golf di Rompin pula akan berlangsung pada 29 Jun manakala 13 Julai akan berlangsung di Kelab Golf Diraja Pekan.
“Kejohanan penutup akan berlangsung di Kelab Golf Diraja Pahang, Kuantan pada 3 Ogos ini,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Kejohanan Sirkit Golf Piala Sultan Pahang 2025 di MGCC di sini hari ini.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Untuk kejohanan ini, sebanyak 64 hadiah mewah disediakan termasuk tawaran hadiah ‘Hole-In-One’ berupa motosikal, kereta di setiap venue.
Shafik Fauzan berkata, objektif kejohanan itu bagi menyediakan platform sukan golf yang inklusif selain melibatkan pemain daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk memupuk perpaduan.
Kejohanan itu katanya, sesuai dengan visi iaitu mewujudkan legasi kejohanan golf persahabatan di Pahang sebagai acara unggul yang meraikan sukan, diraja, dan perpaduan rakyat. – UTUSAN