- Momentum jualan kukuh dan sambutan pasaran memberangsangkan bagi membuka laluan untuk fasa pertumbuhan seterusnya.
- Bersedia merancakkan trajektori pertumbuhan menerusi pelancaran projek akan datang.
PETALING JAYA: LBS Bina Group Berhad, pemaju hartanah terkemuka pilihan rakyat, hari ini mengumumkan keputusan kewangan yang belum diaudit bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (“Q1FYE2025”).
Berikutan kejayaan menyiapkan beberapa projek pada tahun 2024, LBS terus mengekalkan naratif pertumbuhan yang positif dengan memberi tumpuan kepada pembangunan baharu bagi memastikan trajektori pertumbuhan yang berterusan.
Peningkatan aktiviti pembinaan tapak secara progresif telah mendorong hasil meningkat sebanyak 15 peratus kepada RM329.2 juta pada Q1FYE2025, berbanding RM287.1 juta pada suku sebelumnya.
Dipacu oleh projek-projek utama terutamanya KITA @ Cybersouth, LBS Alam Perdana, Prestige Residence dan projek Idaman, pembangunan LBS di Lembah Klang kekal sebagai penyumbang utama, merangkumi lebih daripada 86 peratus daripada hasil Q1FYE2025.
Peningkatan hasil ini turut menyumbang kepada peningkatan keuntungan selepas cukai kepada RM32.5 juta dalam Q1FYE2025, iaitu lebih dua kali ganda berbanding RM15.8 juta pada suku sebelumnya.
Mengulas dari prestasi syarikat, Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Dr. Lim Hock San berkata, pihaknya optimis dengan permulaan tahun 2025 yang kukuh ini, setelah mencatat jualan sebanyak RM281.2 juta serta tempahan jualan tambahan berjumlah RM256.0 juta.
“Pencapaian ini didorong oleh permintaan yang memberangsangkan terhadap kilang sederhana berteknologi tinggi di Taman Perindustrian Alam Perdana, yang turut dikukuhkan oleh prestasi positif Cameron Centrum susulan kejayaan pelancaran Centrum Iris, iaitu presint kedua dan pembangunan bercampur terbesar pada awal tahun ini.
“Penerimaan pasaran yang menggalakkan bagi kedua-dua projek ini mencerminkan keyakinan tinggi pasaran terhadap pembangunan kami, sekali gus mengukuhkan lagi strategi di dalam menyediakan projek berasaskan permintaan sebenar pasaran,” katanya.
Berpandukan Strategi 8 x 8, LBS komited untuk melancarkan rangkaian projek yang kukuh dalam tempoh tiga tahun akan datang, dengan jumlah Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM8.0 bilion.
Gabungan perancangan ini bersama rizab tanah kami seluas 3,793 ekar serta jualan belum dibil RM1.61 bilion telah meletakkan kami pada kedudukan kukuh bagi mencapai pertumbuhan mampan serta memastikan pulangan pendapatan di masa hadapan.
Selain itu, pihaknya turut meneroka peluang untuk mengembangkan kehadiran kami di Melaka menerusi Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) baharu bagi membangunkan projek pembangunan perindustrian bercampur dengan anggaran GDV melebihi RM7.0 bilion.
“Kami teruja dengan potensi peluang pertumbuhan ini dan dalam menghadapi masa hadapan, kami kekal berhati-hati tetapi optimis. LBS akan terus mengambil pendekatan positif terhadap perubahan keperluan pasaran sambil memperkukuh kekuatan sedia ada bagi memacu pertumbuhan mampan,” tambah Tan Sri.
Sebagai bukti komitmen Kumpulan terhadap pemulangan nilai kepada pemegang saham, Lembaga Pengarah telah mencadangkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 1.10 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2024.
Ini termasuk dividen interim pertama satu peringkat sebanyak 1.00 sen sesaham biasa serta dividen khas satu peringkat sebanyak 2.60 sen sesaham biasa.
Cadangan ini tertakluk kepada kelulusan para pemegang saham dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-25 yang akan diadakan 26 Jun 2025.
Usai kelulusan, jumlah keseluruhan pembayaran dividen bagi tahun 2024 adalah sebanyak 4.70 sen sesaham biasa atau RM73.2 juta secara keseluruhan, iaitu nisbah pembayaran dividen sebanyak 30 peratus selaras dengan dasar dividen Kumpulan. – UTUSAN