Tukar nama KTMB buka ruang kepada penghakisan identiti nasional

Tukar nama KTMB buka ruang kepada penghakisan identiti nasional – PEKIDA

MOHD. FOAD MAT ISA menentang keras cadangan supaya nama KTMB ditukar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) membantah keras cadangan bekas editor sukan, Johnson Fernandez supaya nama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ditukar atas alasan ia sudah lapuk dan tidak relevan.

Presiden PEKIDA, Datuk Mohd. Foad Mat Isa berkata, cadangan itu bukan sahaja tidak berasas, malah satu penghinaan terhadap sejarah, identiti dan kedaulatan negara yang berpaksikan Tanah Melayu.

Beliau menegaskan, Tanah Melayu bukan sekadar nama malah, ia adalah asas kepada pembentukan negara ini.

Tambahnya, Tanah Melayu adalah akar kepada kewujudan negara apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada 1 Februari 1948 menggantikan Malayan Union, sebelum mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan kemudiannya menjadi Malaysia pada 16 September 1963.

“Merujuk kepada Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan, istilah Melayu ditakrifkan sebagai identiti berkait rapat dengan Islam, bahasa dan budaya Melayu yang wujud dan berkembang di Tanah Melayu. Menafikan istilah ini bermakna menafikan asal-usul kewujudan negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Mohd. Foad turut menyifatkan KTMB yang wujud sejak 1885 bukan sekadar penyedia pengangkutan awam, malah merupakan institusi warisan negara yang membawa simbol kedaulatan dan sejarah perjuangan bangsa.

“Nama Keretapi Tanah Melayu adalah lambang maruah, jati diri dan kesinambungan sejarah tanah air. Ia bukan sekadar istilah geografi tetapi manifestasi identiti bangsa dan negara,” katanya.

Menurut Mohd. Foad lagi, cubaan menukar nama KTMB yang berakar daripada Tanah Melayu boleh membuka ruang kepada agenda penghakisan identiti nasional dan naratif baharu yang mencairkan sejarah bangsa.

“Perkara ini berpotensi menjejaskan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan (Perkara 3), hak-hak istimewa orang Melayu (Perkara 153) serta kelangsungan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Perkara 152),” katanya.

Justeru beliau mengingatkan agar tiada pihak cuba menyentuh tiang seri negara itu kerana Tanah Melayu bukan barang antik, sebaliknya merupakan nadi dan roh negara ini.

“Kami menyokong sepenuhnya pendirian KTMB untuk mengekalkan nama asalnya dan mengajak semua institusi negara mempertahankan legasi Tanah Melayu sebagai warisan yang tak akan lapuk dek zaman.

“Tanah Melayu adalah jiwa Malaysia dan sesiapa yang cuba memadamkannya, sebenarnya sedang cuba memadamkan sejarah negara ini sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN